Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – BIBD Securities Sdn Bhd (BIBDS), sebuah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), telah memenangi anugerah berprestij, Asian Rising Star pada acara berprestij Asian Asset Management 2025 Best of the Best Awards.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, anugerah berkenaan mengiktiraf peserta pasaran yang meningkat di rantau Asia Pasifik, yang telah mempamerkan potensi luar biasa serta mencapai kejayaan signifikan dalam tempoh yang agak pendek.
Ia menunjukkan peranan penting BIBDS dalam memajukan pasaran modal Brunei dan kepimpinannya dalam pengurusan aset Islam.
Di samping menerima pengiktirafan Rising Star, BIBDS juga memperoleh beberapa anugerah peringkat negara termasuk Best Investor Education, Best Islamic Asset Management Company, Best Sukuk Manager, Best ESG Manager dan Best Retail Asset Manager.
Anugerah tersebut yang diumumkan dalam sebuah majlis di Hong Kong, baru-baru ini, mencerminkan keupayaan komprehensif dan komitmen BIBDS kepada kecemerlangan yang meluas dalam pelbagai perkhidmatan kewangan.

Dedikasi syarikat berkenaan kepada pendidikan pelabur dan literasi kewangan juga membentuk asas kepada strateginya, dengan inisiatif-inisiatif yang meliputi penglibatan akar umbi dengan pelajar rendah dan tertiari kepada kepimpinan pemikir bagi klien institusi.
BIBDS juga sering menerbitkan bahan pemikiran, prospek pasaran dan penyelidikan asli, menangani tema global termasuk trend kadar faedah, risiko geopolitik dan analisis sentimen inovatif, yang meletakkannya sebagai pengurus aset patuh syariah unggul di Brunei.
Pengarah Urusan BIBDS, Jason Wong mengetengahkan peranan penting syarikat dalam membangunkan ekosistem kewangan Brunei. Beliau menyatakan bahawa mereka bekerja rapat dengan klien dan pengawal selia untuk membangunkan secara aktif ekosistem perkhidmatan kewangan di Brunei dengan menyediakan penyelesaian pelaburan patuh syariah inovatif bagi pasaran runcit dan institusi domestik serta antarabangsa.
Usaha-usaha berkenaan adalah sebahagian daripada peranan yang meluas dalam menyokong Pelan Induk Sektor Kewangan Brunei dan komitmennya untuk mengukuhkan sebuah ekosistem pasaran modal yang lebih inklusif dan kukuh.