Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBDs rai pemenang cabaran pelaburan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – BIBD Securities (BIBDS), anak syarikat milik penuh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), telah meraikan pemenang cabaran pelaburan sulungnya pada majlis penutup yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD di ibu negara hari ini.

    Bagi kategori utama, Dive In dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) memenangi tempat pertama sekalis gus menerima hadiah wang tunai $1,000 dan trofi diikuti oleh Hibah dari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) di tempat kedua, dan Investor’s Guild dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) mendapat tempat ketiga, masing-masing memenangi $600 dan $300 berserta trofi.

    Sementara itu, bagi kategori lain, Dive In dari UBD turut memenangi ‘Pembentangan Berpasukan: Pembentang Terbaik’, ‘Analisis Pelaburan Terbaik’ dan ‘Peruntukan Portfolio Terbaik’, manakala UTBIA dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) memenangi ‘Pembentangan Berpasukan: Persembahan Terbaik’, dan Investor’s Guild dari UNISSA telah dianugerahkan ‘Kerja Berpasukan Terbaik’.

    Hadir menyampaikan hadiah dan trofi kepada para pemenang ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Pemilihan pemenang ditentukan berdasarkan kepada pulangan keseluruhan dan persembahan pasukan.

    Awang Junaidi bergambar ramai bersama pemenang cabaran pelaburan pada majlis penutup yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD di ibu negara kelmarin. – Gambar serahan BIBD

    Majlis berkenaan adalah sebagai mengiktiraf prestasi tinggi peserta yang telah mempamerkan strategi pelaburan yang cemerlang, kehebatan analitikal dan komitmen untuk berjaya.

    Cabaran selama enam bulan dari 15 Jun hingga 15 Disember 2022 itu bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan belia bagi bidang pelaburan.

    Sebanyak 10 pasukan terdiri daripada mahasiswa dari institusi pengajian tinggi seperti UBD, UTB, UNISSA dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS).

    Cabaran pelaburan pertama itu merupakan usaha BIBDS dalam menyokong wawasan negara untuk membangunkan industri pasaran modal Islam serta sebahagian daripada Komitmen Kumpulan BIBD untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDGs) dengan melibatkan masyarakat dan untuk sistem kewangan berkembang dengan lebih bernilai dan mampan.

    Selain itu, cabaran itu menyediakan persekitaran yang kompetitif lagi menyeronokkan yang membolehkan peserta untuk mempelajari dan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang faedah pelaburan dan kebaikan pendekatan berdisiplin melalui pengalaman hands-on.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda