Thursday, July 17, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    BIBDS terima anugerah Asian Rising Star

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – BIBD Securities Sdn Bhd (BIBDS), sebuah anak syarikat Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD), menerima anugerah Asian Rising Star daripada Asia Asset Management (AAM) semasa 3rd ASEAN Forum: The Future of Finance, yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Anugerah berkenaan disampaikan sebagai sebahagian daripada program forum yang mengiktiraf potensi dan keberadaan BIBDS yang semakin berkembang pesat dalam pasaran modal Islam serantau.

    Forum bertema Navigating an Era of Transition itu dianjurkan oleh AAM dengan kerjasama Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) serta disokong BIBD selaku penaja utama.

    Anugerah itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Penolong Pengarah Urusan 2, Dayang Hazimah binti Pehin Dato Haji Adanan, Pengarah Urusan BIBD Securities, Jason Wong serta pengurusan BIBD dan kakitangan BIBD.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menyampaikan Anugerah Asian Rising Star bagi BIBDS kepada Awang Junaidi semasa 3rd ASEAN Forum: The Future of Finance, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    BIBDS diberi tumpuan dalam panel forum berkenaan dengan dua wakil dari BIBDS mengambil bahagian sebagai ahli panel, iaitu Peneraju CX dan Inovasi Digital, BIBD Securities, Fuad Bihari menyumbang kepada Panel C: Wealth Management and Sustainability in ASEAN, bersama-sama pemimpin industri serantau.

    Penganalisis Kredit Kanan dan Peneraju ESG di BIBD Asset Management, Farah Amer Hishamuddin yang mengambil bahagian dalam sesi panel berasingan menumpukan kepada strategi pelaburan pasaran baru muncul dan hutang tersenarai.

    Penyertaan mereka mencerminkan komitmen Kumpulan BIBD kepada sumbangan kepimpinan fikiran dalam bidang-bidang seperti kewangan Islam, kemampanan dan transformasi digital.

    Anugerah Asian Rising Star menekankan keupayaan BIBDS dalam menyalurkan penyelesaian pasaran modal patuh syariah dan inovatif, menyokong cita-cita Brunei Darussalam untuk membangunkan sebuah sektor perkhidmatan kewangan mantap.

    Usaha-usaha berkenaan selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan BDCB yang berusaha mempelbagaikan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan Brunei sebagai hab kewangan serantau yang dipercayai.

    Sebagai ahli Kumpulan BIBD, BIBDS kekal fokus membina keyakinan pelabur, membangunkan kepakaran tempatan serta akses kepada peluang-peluang pelaburan bagi klien antarabangsa dan awam Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda