Bicara Khas UNISSA bincang kerjasama dengan universiti Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Fakulti Bahasa Arab, baru-baru ini, telah menganjurkan Bicara Khas mengenai tajuk ‘Teaching Arabic at Osaka University: Exploring Collaboration with a Variety of Disciplines in UNISSA’.

Bicara Khas telah disampaikan oleh Pengarah Pengajian Bahasa Arab, Universiti Osaka, Jepun, Profesor Kumiko Kondo. Hadir bersama beliau ialah Profesor Quamrul Hassan dari Centre of Global Initiatives, Universiti Osaka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UNISSA, Bicara Khas tersebut menyentuh sejarah pengajian Bahasa Arab di Jepun. Ia juga membicarakan mengenai pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Jepun khususnya pengalaman dan cara pendekatan dalam mengajar bahasa berkenaan di Universiti Osaka.

Acara berkenaan juga merupakan salah satu pengisian kunjungan wakil Universiti Osaka ke UNISSA yang antara berobjektif sebagai platform bagi mengenal dengan lebih dekat lagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di UNISSA, di samping membuka ruang dan peluang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka bidang-bidang, program atau aktiviti yang dapat dilakukan secara kolaborasi.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Dekan Fakulti Bahasa Arab, Profesor Madya Dr Siti Sara binti Haji Ahmad; Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban, Pengiran Dr Hajah Norkhairiah binti Pengiran Haji Hashim dan tenaga akademik serta pelajar UNISSA.

Profesor Kumiko Kondo ketika Bicara Khas di UNISSA, baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA