Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini, telah menganjurkan Majlis Bicara Ulum Addin sempena Sambutan Israk dan Mikraj yang antara lain bertujuan untuk berkongsi pengetahuan mengenai sejarah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W.
Lebih 100 orang pensyarah dan mahasiswa UBD menghadiri majlis ceramah yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor UBD berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.
Pada majlis itu, Profesor Ulung dan Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS), UBD, Profesor Datuk Dr. Osman Bakar telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Israk dan Mikraj: Mesej Sepanjang Zaman untuk Umat Islam’.
Dalam ceramah itu, beliau juga menyentuh mengenai sembahyang sebagai kunci syurga dan menekankan kepentingan ibadah sembahyang bagi setiap umat Islam.
Bicara Ulum Addin berkenaan merupakan majlis ceramah yang dilaksanakan secara bulanan sejak Februari tahun 2010. Sesuai dengan tujuannya, majlis kali ini membawakan tajuk dan isi kandungan yang signifikan dengan peristiwa Israk dan Mikraj dan isi kandungan diharapkan akan dapat meningkatkan lagi penghayatan dan pemahaman para peserta tentang peristiwa Israk dan Mikraj.

