Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    BICET 2021 buka tirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Persidangan Antarabangsa Brunei mengenai Kejuruteraan dan Teknologi (BICET) ke-8 yang berlangsung secara maya telah membuka tirainya pada hari ini.

    BICET 2021 telah dibuka rasmi oleh Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin selaku tetamu kehormat majlis.

    Universiti Teknologi Brunei (UTB) di bawah Fakulti Kejuruteraan merupakan penganjur utama persidangan itu dengan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei, Institution of Mechanical Engineers (IMechE), Society of Petroleum Engineers (SPE) International (Brunei Section), Institution of Civil Engineers (ICE), dan Institution of Engineering and Technology (IET) sebagai rakan kongsi sokongan.

    Persidangan ditaja oleh Syarikat Berakas Power Sdn Bhd, Petrokon Utama Sdn Bhd, Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sdn Bhd.

    Pada majlis perasmian, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku penasihat BICET 2021, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat sebelum merasmikan BICET 2021.

    Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke ketika menyampaikan ucapan dan merasmikan persidangan berkenaan. – Gambar serahan UTB

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohd Salleh.

    Menurut kenyataan UTB, selepas perasmian, majlis menyaksikan dua pembentangan ucaptama oleh Profesor Dr Janardhan Reddy Koduru dari Universiti Kwangwoon, Korea mengenai Magnetic Functionalized Graphitic Carbon Composites for Sustainable Water Remediation dan Profesor Dr Ataur Rahman dari Universiti Western Sydney, Australia mengenai Rainwater Harvesting System as a Tool to Promote Sustainable Water Management.

    Dua lagi pembentangan utama bertajuk Effect of Trochoidal Strategy in End Milling of Titanium Alloy Ti-6Al-4V oleh Profesor Dr Safian Sharif dari Universiti Teknologi Malaysia, dan Overview of the Current Development in Compressed Air Energy Storage oleh Profesor Dr Jihong Wang dari Universiti Warwick akan disampaikan pada persidangan itu.

    Sesi selari juga akan diadakan di sepanjang persidangan tiga hari tersebut yang akan melibatkan para peserta.

    Kenyataan menyatakan, BICET ialah siri persidangan antarabangsa utama yang dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UTB sejak dua dekad yang lalu. Ia merupakan acara dwitahunan untuk ahli akademik, penyelidik dan jurutera berkongsi idea, isu terkini, pendapat dan penemuan penyelidikan mengenai perkembangan teknologi terkini dalam bidang masing-masing.

    Membawa tema Inovasi dalam Kejuruteraan dan Teknologi ke arah Meningkatkan Kualiti Hidup dan Masyarakat, persidangan tahun ini dianjurkan dalam empat sesi selari, terdiri daripada 20 sesi yang dijalankan selama tiga hari.

    Sebanyak 206 kertas kerja dari 30 negara telah diterima daripada pelbagai bidang dalam kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan mekanikal, dan kejuruteraan petroleum dan kimia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda