Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Bagi memastikan peniaga-peniaga memahami dan mematuhi peruntukan undang-undang yang terkandung di dalam Akta Penyimpanan Rekod (Perniagaan), Penggal 249, satu sesi taklimat telah dianjurkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants (BICPA) kelmarin.
Taklimat Akta Penyimpanan Rekod (Perniagaan), Penggal 249 yang berlangsung di Dewan Teater, MOFE itu telah disampaikan oleh Pegawai Kewangan di Bahagian Hasil, MOFE, Dayang Siti Nur Quthairah binti Shah Johan.
Beliau menjelaskan keperluan bagi setiap entiti perniagaan di Negara Brunei Darussalam untuk menyimpan rekod-rekod perniagaan dengan teratur sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun selaras dengan Akta Penyimpanan Rekod (Perniagaan), Penggal 249.
Turut menyampaikan taklimat itu ialah Setiausaha dan Pengarah Akademi BICPA, Dayang Adeline Lau Pik Wen yang mana beliau menekankan tentang perlunya penyimpanan buku dan faedah penyediaan penyata kewangan yang teratur bagi membantu pemilik perniagaan membuat perancangan kewangan serta menarik pelabur-pelabur berpotensi.