Thursday, October 10, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    BICTA 2019 dilancar

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2019 telah dilancarkan hari ini dengan pendekatan baharu untuk menarik lebih banyak penyertaan.

    Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim menjelaskan, BICTA 2019 dilancarkan dengan pendekatan baharu iaitu dengan adanya sokongan lebih meluas daripada penglibatan agensi-agensi seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Darussalam Enterprise (DARe).

    “Ini adalah untuk menggalakkan penyertaan yang lebih meluas di kalangan penuntut-penuntut dan syarikat-syarikat tempatan,” jelas beliau lagi semasa sidang media khas mengumumkan pelancaran anugerah berkenaan di Theatre Hall 3, Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Beliau selaku pemangku pengerusi bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2019, juga mengalu-alukan penyertaan para penuntut, individu, syarikat-syarikat dan organisasi-organisasi yang berminat untuk turut serta dalam BICTA kali ini.

    Jelasnya, BICTA merupakan wadah bagi mengetengahkan produk, perkhidmatan atau idea yang inovatif, dalam usaha ke arah mencapai matlamat wawasan 2035.

    Haji Hairul Mohd Daud (tiga, kanan) ketika mengumumkan pelancaran BICTA 2019 pada sidang media di Theatre Hall 3, UTB.

    Selain itu, menerusi BICTA, para penuntut dan penggiat industri tempatan dapat bersaing dan berinovasi bukan hanya sekadar di peringkat kebangsaan namun juga di peringkat serantau iaitu APICTA.

    Pada tahun ini, tiga kategori penyertaan dibukakan kepada individu, pelajar-pelajar, syarikat-syarikat kecil dan sederhana (PKS) serta organisasi-organisasi yang berminat.

    Bagi Kategori Sekolah, ia dibukakan kepada individu atau penuntut dari Tahun 7 hingga 11, Kategori Tertiary pula dibukakan kepada individu atau pelajar-pelajar dari Tahun 12 hingga peringkat ijazah, manakala itu, Kategori Industri pula dibukakan kepada individu, syarikat-syarikat start-up dan agensi-agensi kerajaan.

    Selain itu, BICTA 2019 akan mengetengahkan lima Anugerah Khas iaitu bagi Penyelidikan dan Perkembangan, Teknologi Analisis Data Besar, Artificial Intelligence (AI), teknologi Internet of Things (IOT) dan Start-Up.

    Anugerah tahun ini membawa tema ‘Inovasi untuk Negara Digital’ yang menekankan kepentingan inovasi dalam kalangan generasi kini sebagai usaha membawa perubahan digital dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

    Diperkenalkan sejak 2004, anugerah tahunan berkenaan dianjurkan bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan Infocomm Federation of Brunei (IFB).

    Juga hadir pada sidang media berkenaan ialah Presiden IFB, Sheikh Haji Abas bin Sheikh Haji Mohammad selaku pengerusi bersama II Jawatankuasa Pandu BICTA 2019, Ketua Hakim BICTA 2019, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latif dan Timbalan Ketua Eksekutif AITI, Dayang Julianah binti Haji Ali Ahmad.

    Sidang media berkenaan turut disusuli dengan beberapa pembentangan oleh pemenang BICTA sebelumnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda