Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    BICTA raikan pemenang inovatif, kreatif bidang ICT

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Dengan matlamat untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT dalam negara, Anugerah ICT Brunei (BICTA) meraikan pemenang-pemenang dalam Majlis Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2025 yang berlangsung di Pusat Kesenian, Sekolah Antarabangsa Jerudong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan hadiah ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhomrat Dayang Chong Chee Yee; Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2025 dan Pengerusi InfoCom Brunei (IFB), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff selaku Pengerusi Bersama II, Jawatankuasa Pandu BICTA 2025.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary hadir sebagai tetamu kehormat.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah para setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, pegawai kanan kerajaan dan wakil institusi-institusi pengajian tinggi serta industri ICT.

    Acara kemudiannya diserikan dengan tayangan video bertajuk, Catatan Perjalanan BICTA 2025 yang menampilkan kompilasi aktiviti BICTA sepanjang tahun dan pengalaman para peserta dalam pertandingan BICTA.

    Majlis diteruskan dengan pembentangan laporan hakim oleh Ketua Hakim BICTA 2025, Dr Sophiana Chua binti Abdullah.

    Kemuncak acara menyaksikan penyampaian hadiah-hadiah oleh tetamu kehormat kepada para pemenang dan penerima Merit BICTA 2025 dan penerima Anugerah Smart Nation.

    Sebanyak 10 kategori dipertandingkan yang terdiri daripada tujuh kategori utama iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Pengajian Tinggi, Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, Khidmat Kemasyarakatan dan Keikutsertaan, Perindustrian dan Awam dan Kerajaan serta tiga kategori silang iaitu Pemula (Start-Up), Penyelidikan dan Perkembangan dan Teknologi.

    BICTA 2025 juga mengetengahkan lima Anugerah Smart Nation yang mengkhususkan penyertaan yang tidak memenangi mana-mana kategori pertandingan tetapi telah memenuhi aspirasi ‘Negara Pintar melalui Transformasi Digital’ bagi meningkatkan kualiti hidup, perkhidmatan awam, pendidikan, keselamatan, mobiliti rakyat serta mencapai kelestarian alam sekitar melalui aplikasi dalam lima sektor tertentu, iaitu Pelancongan, Pertanian, Pembinaan, Logistik & Pengangkutan serta Pendidikan.

    Sebanyak 180 penyertaan telah diterima iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding 159 penyertaan pada 2024. Daripada jumlah penyertaan berkenaan, sebanyak 128 penyertaan telah disenarai pendek sebagai memenuhi kelayakan serta kriteria pertandingan BICTA dan seterusnya dipilih untuk menjalani proses penghakiman.

    Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 telah memenangi Anugerah Smart Nation bagi kategori Sekolah Rendah, dengan produk mereka, The Bright Buddies 49, manakala bagi kategori Sekolah Menengah, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan dengan produk mereka, EduMat muncul telah sebagai pemenang.

    Bagi Kategori Pengajian Tinggi, Maktab Sains Paduk Seri Begawan Sultan dengan produk, DualFarm A.I. diumumkan sebagai juara.

    Manakala bagi kategori Perkhidmatan Pengguna dan Perniagaan, WilkGames dengan produk, Tikus Tales, diumumkan sebagai juara dan kategori Perkhidmatan Masyarakat dan Keikutsertaan pula dimenangi DigiAgri dengan produk, ChemBuddy.

    Bagi Kategori Perindustrian, SPI BN Sdn Bhd dengan produk, Ground Sensor Terminal for Satellite IoT Connectivity diumumkan sebagai juara dan bagi kategori Pemula, Tech4Horizon Enterprise dengan produk, PsychoBoard diumumkan sebagai juara bagi Kategori Perindustrian.

    Untuk kategori Teknologi, Avicenna dengan produk, PAGE telah diumumkan sebagai juara.

    Selain daripada memenangi hadiah wang tunai dan trofi, para pemenang dalam setiap kategori juga berpeluang untuk mewakili negara ke Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2025 yang akan diadakan Disember nantu di Taipei, China.

    Anugerah APICTA merupakan pertandingan ICT di peringkat antarabangsa yang berprestij, disertai oleh 17 ahli ekonomi dari rantau Asia Pasifik. Penyertaan Negara Brunei Darussalam di dalam APICTA setakat ini telah meraih 5 kemenangan dan 41 Anugerah Runner Up dan Merit.

    BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB) dengan tujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT di kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan. BICTA turut disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pendidikan dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

    Semua di atas: Antara pemenang-pemenang yang diraikan dalam majlis berkenaan.
    Sesi bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda