Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengumumkan pelancaran Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2020/2021 semasa sidang media yang diadakan di Auditorium Utama, Bangunan D&T, hari ini.
Hadir semasa sesi sidang media tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Pengerusi Infocom Federation of Brunei (IFB), Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohammad, masing-masing selaku pengerusi bersama I dan II Jawatankuasa Pandu BICTA 2021.
Diperkenalkan pada 2004, BICTA adalah pertandingan ICT tahunan yang bertujuan untuk mendorong inovasi dan kreativiti bidang ICT dalam kalangan individu-individu, penuntut-penuntut dan pengusaha-pengusaha.
Ke arah mendukung Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, tema BICTA pada tahun ini dikekalkan sebagai ‘Negara Pintar melalui Transformasi Digital’. Tema tersebut menggambarkan peralihan ke arah negara pintar melalui inovasi dalam ICT untuk masyarakat dan transformasi ekonomi.
Haji Mohammd Nazri menjelaskan bahawa acara tersebut merupakan usaha berterusan untuk merangsang inovasi teknologi dan kreativiti dalam kalangan individu, pelajar dan organisasi awam dan swasta, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan start-ups.

BICTA berperanan sebagai tanda aras bagi perkembangan produk ICT dengan mengetengahkan wadah atau platform bagi persaingan dan pengiktirafan dalam inovasi dan kreativiti ICT di negara ini.
Menurutnya, tema Anugerah BICTA 2020/2021 adalah selaras dengan visi Majlis Ekonomi Digital, untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara pintar.
“Oleh yang demikian, BICTA adalah inisiatif yang akan dapat memupuk inovasi dan keusahawanan. Ini adalah sebagai usaha bersama kita dalam melaksanakan inisiatif transformasi digital bagi membawa Negara Brunei Darussalam ke arah smart nation dan mendukung visi Negara Brunei Darussalam, iaitu wawasan 2035,” jelas Haji Mohammad Nazri.
BICTA 2020/2021 dibukakan untuk penyertaan individu, penuntut, pengusaha dan agensi kerajaan dalam tiga kategori iaitu Kategori Sekolah (terbuka untuk individu atau kumpulan pelajar Tahun 7 hingga Tahun 11); Kategori Tertiary (terbuka untuk individu atau kumpulan pelajar Tahun 12 hingga mahasiswa); dan Kategori Industri (terbuka untuk individu atau kumpulan, start-ups, syarikat dan agensi kerajaan).
Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai sebanyak $3,000, $7,000 dan $10,000 masing-masing. Terdapat lima Anugerah Khas akan dipertandingkan iaitu Projek Penyelidikan dan Pembangunan, Teknologi Big Data Analytics, Teknologi Artificial Intelligence (AI), Teknologi Internet of Things (IoT), dan Start-up.
Beliau menjelaskan lanjut, BICTA adalah komponen di dalam Anugerah Asia-Pacific ICT Alliance (APICTA) yang mana kualiti dan kategori yang dipertandingkan adalah sejajar dengan piawaian APICTA.
Penyertaan Negara Brunei Darussalam di dalam APICTA sejak 2008 sehingga kini telah berjaya memperoleh dua anugerah pemenang dan 27 anugerah merit.
“Pemenang-pemenang BICTA Insya-Allah akan diumumkan semasa Majlis Anugerah BICTA 2020/2021 yang akan diadakan pada Ogos tahun ini.
“Para pemenang BICTA, khususnya pemenang tempat pertama, akan berpeluang untuk mewakili Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan APICTA 2021 yang dijadual diadakan pada penghujung tahun 2021, dan bersaing bersama rakan- rakan lain dari rantau Asia-Pasifik, tertakluk kepada situasi terkini pandemik COVID-19 di rantau ini,” kongsi beliau lagi.
BICTA adalah anjuran bersama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan IFB serta disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Darussalam Enterprise (DARe) dan Pejabat Harta Intelek Brunei (BruIPO).