Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    BICTA: Rangsang inovasi, kreativiti teknologi digital

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Pertandingan Anugerah ICT Brunei (BICTA) berperanan sebagai wadah bagi menggalakkan inovasi dan kreativiti dalam industri ICT dalam kalangan individu, pelajar serta organisasi awam dan swasta.

    BICTA 2024 sekali lagi membawa tema Negara Pintar Melalui Transformasi Digital, di mana ia memberikan penekanan akan pentingnya inovasi dan perkembangan teknologi baharu untuk mendukung usaha ke arah transformasi digital bagi memacu pembangunan ekonomi dan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Pengerusi Bersama I Jawatankuasa Pandu BICTA 2024 dalam kata alu-aluannya di Majlis Pelancaran Anugerah BICTA 2024 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir bagi menyempurnakan pelancaran Anugerah BICTA 2024 ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chee Yee, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap dari beberapa buah kementerian, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan, perwakilan dari institusi pendidikan, syarikat-syarikat ICT tempatan serta ahli-ahli Alumni BICTA.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bergambar ramai bersama para penerima Anugerah Penghargaan Khas. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Ir Haji Mohammad Nazri menyampaikan kata alu-aluannya semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Ir Haji Mohammad Nazri turut menyatakan bahawa tema itu adalah sehaluan dengan aspirasi dalam mencapai hasrat yang digariskan dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

    Beliau juga menyatakan harapan lebih banyak penyertaan dan kreativiti akan diketengahkan oleh para peserta di mana penyertaan yang dihasilkan oleh mereka dinilai lebih berinovasi, berdaya saing dan memberikan impak kepada landskap ICT.

    Majlis diteruskan dengan pelancaran BICTA 2024 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dengan menggunakan hologlass iaitu teknologi yang menggabungkan elemen hologram dengan bahan kaca bagi menciptakan pengalaman visual yang menarik. Hologlass dibangunkan oleh Syarikat Zylit iaitu salah satu peserta BICTA pada 2023.

    Majlis kemudian menyaksikan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyampaikan Penghargaan Khas BICTA bersempena ulang tahun penganjuran BICTA ke-20.

    Pada 2024, BICTA memperkenalkan Penghargaan Khas bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta jasa individu dalam pencapaian BICTA termasuk di peringkat pertandingan ICT antarabangsa iaitu Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA).

    Bagi Penghargaan Penyertaan Individu Paling Aktif, penerima terdiri daripada peserta BICTA daripada kalangan industri dan guru-guru pengawas bagi penyertaan sekolah ke pertandingan BICTA yang mempunyai dedikasi penuh dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi melalui penyertaan yang konsisten serta meraih kemenangan di pertandingan antarabangsa APICTA.

    Para penerima ialah Haji Muhammad Zuwaini bin Haji Aliyani dari Ma’had Islam Brunei, Matthew Wong dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan, Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin dari Mindtrex Academy dan Sarinah binti Ziziumiza dari Rumine Corporation.

    Sementara itu, penerima Penghargaan Jasa Bakti BICTA merupakan daripada kalangan pemimpin dan individu yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran serta turut menabur jasa ke arah pembaikan, peningkatan BICTA dan terlibat secara aktif dalam menerajui APICTA.

    Para penerima ialah Dr Yong Cheen Tuan dan Sheikh Haji Abas bin Sheikh Mohamad.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga berpeluang bagi beramah mesra dan mendekati peserta-peserta BICTA pada tahun-tahun yang lalu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...