Oleh Sim Y. H.
Demi mencapai matlamat untuk kesejahteraan mental khususnya dalam kalangan pelajar, sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan telah membangunkan satu aplikasi mudah alih yang diberi nama, AI CARE.
Aplikasi ini dihasratkan untuk meminimumkan isu masalah kesihatan mental dalam kalangan belia Brunei yang semakin bertambah dengan menyediakan penjagaan kesihatan mental yang mudah untuk diakses dan terselindung menerusi aplikasi Android.
Aplikasi itu bukan sahaja untuk kegunaan pelajar tetapi boleh dimanfaatkan oleh semua, jelas Dayang Arshia binti Tarid salah seorang ahli kumpulan pelajar Tahun 11 Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan yang menjuarai Kategori Sekolah bagi Anugerah BICTA 2022, kelmarin.
Beliau bersama dua lagi rakannya, Annika Chuang Pei Rong dan Phoebe Lim Tong Xin menerangkan bahawa moto bagi AI CARE adalah merenung, sembuh dan berkembang yang mencerminkan fungsi aplikasi mereka.
Merenung, jelasnya, membawa pengertian AI CARE dapat membantu para pengguna aplikasi berkenaan untuk mengekalkan kesihatan mental yang baik setiap hari, melalui chat bot iaitu healthy body, healthy mind dan ciri buku jurnal.



Sementara itu, bagi sembuh, AI CARE menyediakan kemudahan kesihatan mental melalui ciri terapi dan pertolongan cemas dan terakhir, berkembang, AI CARE menyediakan maklumat mengenai kesihatan mental seperti tanda-tanda atau simptom dan isu-isu kesihatan mental yang lazim, melalui ciri AI Learn.
Dayang Arshia mendedahkan bahawa semasa penularan COVID, isu kesihatan mental menunjukkan peningkatan di seluruh dunia dengan Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada masalah itu.
“Sebagai pelajar, kami juga melihat rakan-rakan sebaya kami mengalami tekanan dan kebimbangan terutamanya semasa pembelajaran dalam talian,” jelasnya
Oleh itu, ulasnya, mereka menghasilkan aplikasi berkenaan supaya belia Brunei dapat memanfaatkan aplikasi mereka untuk mengurus kesihatan mental serta mencegah atau sembuh daripada masalah mental mereka.
Pada masa hadapan, mereka mendedahkan hasrat untuk menghalusi lagi aplikasi itu bukan sahaja bagi kegunaan belia di Brunei tetapi juga secara global.
Mereka turut menyatakan perasaan amat gembira dan bersyukur kepada Allah SWT serta guru pengawas termasuk fasilitator BICTA yang telah banyak membantu mereka di sepanjang proses penghasilan AI CARE.
Sementara itu, aplikasi BruHealth daripada Kementerian Kesihatan yang muncul sebagai juara Kategori Industri ICT dan dikurniakan Anugerah Penaung Diraja BICTA 2022, merupakan satu pengiktirafan kepada setiap pihak terlibat dalam projek aplikasi berkenaan yang banyak membantu negara untuk mengawal penularan pandemik COVID.
Penganalisa Sistem, Awang Mohammad Eswandy bin Brahim; Penganalisa Sistem Kanan, Ong Pei Hsia dan Pentadbir Hospital Kanan, Awang Mohammad Kamarulariffin Zaki bin Harith Fadzilla di bawah Jabatan Teknologi Penjagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan menerangkan bahawa pada fasa pertama, BruHealth menumpukan kepada pengurusan epidemik di mana orang ramai dikehendaki untuk mengimbas apabila memasuki premis serta bagi memantau kod kesihatan.
Pada fasa kedua, jelas Awang Mohammad Eswandy, mereka telah memperkenalkan ciri-ciri baharu termasuk Notis Pengasingan Rumah, Sijil Vaksinasi dan melaporkan ujian ART.
Walaupun mereka berhadapan cabaran yang besar semasa gelombang kedua dan ketiga COVID, pihaknya telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan sokongan dan layanan yang terbaik kepada mereka.
Oleh itu, mereka melahirkan perasaan amat bersyukur kerana diberikan penghormatan dan pengiktirafan untuk dikurniakan Anugerah Penaung Diraja BICTA 2022.
Bagi versi baharu aplikasi BruHealth, ulasnya, mereka akan menumpukan untuk bergerak daripada pengurusan epidemik kepada aplikasi kesihatan digital.Pada masa ini, dedahnya, terdapat kira-kira 500,000 pengguna BruHealth dengan pengguna aktif seramai kira-kira 200,000 setiap hari.
Oleh itu, pada masa hadapan, kami akan menggalakkan orang ramai untuk menggunakan BruHealth sebagai aplikasi kesihatan mereka di mana mereka akan memberikan pelan kesihatan bagi setiap individu untuk memperbaiki kesihatan mereka.
Di samping itu, ia juga akan mempunyai program pengurusan diabetes yang akan menumpukan kepada memperbaiki keadaan pesakit diabetes jenis 2.
Bagi naib juara Kategori Pengajian Tinggi dari Universiti Teknologi Brunei dengan produk, Smart Paddy Irrigation System, yang dianggotai oleh Awang Mohammad Naqiuddin bin Haji Awang Rambli, Awang Mohamad Zuhair Arif bin Shahrum dan Awang Muhd Safwan bin Ahman, mereka berharap lebih ramai belia akan tampil ke hadapan untuk meneroka dan mengetengahkan idea inovatif mereka bagi membantu mencari penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi di Brunei.
Menyentuh mengenai projek berkenaan, mereka menerangkan bahawa ia memanfaatkan teknologi dalam bidang pertanian dengan menggunakan sensor untuk memastikan sawah padi menerima pengairan optimum serta menyediakan pemberitahuan kepada peladang mengenai keadaan sawah mereka.
Mereka berkata bahawa produk itu masih dalam fasa pembangunan dan pada masa ini, sedang melalui ujian di Sekolah Agro-Teknologi, IBTE.

