WASHINGTON, 26 JULAI – Presiden Joe Biden, yang akan bertemu Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi hari ini, dijangka melancarkan ‘fasa baharu’ kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq, justeru menamatkan operasi pertempuran namun tidak mengumumkan pengunduran sepenuhnya.
Kehadiran tentera AS di Iraq akan menjadi agenda utama mesyuarat di antara presiden dan Kadhemi, pemimpin yang menerima tekanan daripada puak bersenjata pro-Tehran yang menuntut pengunduran 2,500 tentera AS yang masih ditempatkan di Iraq.
Namun persoalan mengenai sama ada Baghdad mempunyai kekuatan untuk berdepan saki-baki pejuang Islamic State (ISIS) di negara itu masih diragui.
“Kami bercakap mengenai peralihan kepada fasa baharu dalam kempen di mana kami sudah hampir menamatkan misi pertempuran ke atas ISIS dan beralih kepada misi latihan pada akhir tahun,” kata pegawai kanan pentadbiran Biden hari ini.
Pegawai itu meramalkan ‘penyelarasan tambahan’ mungkin dilakukan pada akhir 2021.
“Iraq telah meminta dan kami bersetuju, bahawa mereka perlu memerlukan latihan berterusan, sokongan dengan logistik, risikan, pembinaan kapasiti nasihat, yang kesemuanya akan kami bekalkan,” kata pegawai.
Secara teknikal, tidak adanya tentera AS di Iraq, di mana AS telah menghantar penasihat atau pelatih sahaja.
Presiden AS dan pemimpin Iraq dijangka bertemu pada pukul 2 petang waktu Washington dan belum merancang mengadakan sidang media bersama, namun satu kenyataan akan dikeluarkan selepas itu. – AFP
