Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden calonkan Ajay Banga sebagai presiden Bank Dunia

    WASHINGTON, 24 FEB – Presiden AS, Joe Biden kelmarin mengumumkan bekas ketua eksekutif Mastercard, Ajay Banga sebagai calon untuk mengetuai Bank Dunia, selepas ketua semasa pemberi pinjaman pembangunan itu mengumumkan rancangan untuk berundur awal.

    Bank Dunia baharu sahaja mula menerima pencalonan dalam proses yang ditetapkan untuk berjalan sehingga 29 Mac, dengan bank itu berkata bahawa pencabar wanita ‘sangat digalakkan’.

    Presiden bank yang berpangkalan di Washington lazimnya adalah orang Amerika, manakala ketua Tabung Kewangan Antarabangsa lazimnya adalah orang Eropah.

    Banga, yang berbangsa India-Amerika, sebelum ini merupakan ketua eksekutif di Mastercard, dan juga pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah Palang Merah Amerika, Kraft Foods dan Dow Inc. Beliau kini merupakan naib pengerusi di firma ekuiti swasta, General Atlantic.

    Sikh berusia 63 tahun itu dilahirkan dan dibesarkan di India, mengembara secara kerap semasa kecil kerana kerjaya tentera bapanya, dan memulakan kerjayanya di sana sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat.

    Banga mempunyai “pengalaman penting menggerakkan sumber awam-swasta untuk menangani cabaran paling mendesak pada zaman kita, termasuk perubahan iklim,” kata Biden dalam satu kenyataan.

    Minggu lalu, Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata beliau akan berundur hampir setahun lebih awal, menamatkan tempoh perkhidmatan yang telah diselubungi persoalan mengenai pendirian iklimnya.

    Malpass dilantik ke jawatan itu pada 2019 semasa Donald Trump menjadi presiden, dan pada asalnya akan menamatkan penggalnya pada 2024.

    Pencalonan Banga dibuat di tengah-tengah desakan untuk pemberi pinjaman pembangunan itu merombak dan menangani masalah global dengan lebih berkesan seperti isu alam sekitar. – AFP

    Ketua Pegawai Eksekutif MasterCard, Ajay Banga bercakap kepada pemberita di New York, 6 April 2011. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda