WASHINGTON, 17 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa Kongres mengetatkan langkah-langkah kawalan senjata api ketika keganasan akibat penggunaan senjata api semakin meningkat di negara itu.
Biden, kelmarin, berkata sekurang-kurangnya empat orang terbunuh semasa majlis hari jadi seorang remaja di Dadeville Alabama pada malam Sabtu. Dalam satu lagi kejadian tembakan pada hari yang sama, dua terbunuh di taman awam di Louisville, Kentucky.
“Senjata api merupakan pembunuh utama kanak-kanak di Amerika, dan jumlahnya semakin meningkat, tidak berkurangan,” kata Biden dalam kenyataan kelmarin, susulan insiden keganasan senjata api pada hujung minggu ini.
Beliau berkata keadaan itu “keterlaluan dan tidak boleh diterima” dan bahawa “orang Amerika bersetuju dan mahu penggubal undang-undang melaksanakan pembaharuan keselamatan senjata api yang munasabah.”
Biden juga mengkritik parti Republikan kerana menghadiri konvensyen Persatuan Rifle Kebangsaan (NRA) pada Jumaat di tengah-tengah lonjakan keganasan membabitkan senjata api. Konvensyen di Indianapolis itu dihadiri oleh Bekas Presiden AS Donald Trump.
“Kongres mempunyai kuasa untuk menetapkan keselamatan penyimpanan senjata api, menetapkan pemeriksaan latar belakang untuk semua penjualan senjata api, menghapuskan imuniti pengeluar senjata api daripada liabiliti, dan mengharamkan senjata serangan dan peluru berkapasiti tinggi yang ini perlu dilakukan tanpa berlengah-lengah,” tegas Biden. – Bernama


