NEW YORK, 27 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata kelmarin beliau berharap gencatan senjata di Semenanjung Gaza dapat dimulakan awal minggu depan, sambil menambah Israel bersedia untuk menghentikan operasi pada bulan Ramadan sebagai sebahagian daripada mana-mana perjanjian.
Di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di wilayah Palestin, wakil dari Mesir, Qatar, AS, Perancis dan lain-lain telah bertindak sebagai perantara bagi Israel dan pejuang Hamas, berusaha menghentikan pertempuran dan membebaskan tebusan Israel yang ditahan di Semenanjung Gaza.
Apabila ditanya semasa lawatan kempen pilihan raya ke New York bila perjanjian sedemikian mungkin bermula, Biden menjawab, “Saya harap menjelang hujung minggu.”
“Penasihat keselamatan negara saya memberitahu saya bahawa kita semakin hampir, kita belum selesai. Harapan saya adalah menjelang Isnin depan kita akan mengadakan gencatan senjata,” kata Biden kepada pemberita.
Biden, 81, memberikan butiran lanjut tentang bagaimana perjanjian itu mungkin kelihatan apabila dia bercakap mengenai isu itu dalam temu bual dengan hos rancangan AS, ‘Late Night With Seth Meyers’.
“Ada jalan ke hadapan namun dengan kesukaran,” katanya kepada Meyers apabila ditanya bagaimana untuk menamatkan konflik tersebut.
Pengantara berharap untuk mencapai kesepakatan sebelum permulaan bulan suci Ramadan dalam masa kira-kira dua minggu.
“Ramadan akan datang dan sudah ada perjanjian daripada Israel bahawa mereka tidak akan terlibat dalam aktiviti semasa Ramadan, untuk memberikan kami masa untuk membebasan semua tebusan,” kata Biden.
Biden sebelum ini bercakap mengenai gencatan senjata selama enam minggu. – AFP