WASHINGTON, 21 OGOS – Presiden Joe Biden berlepas ke Hawaii hari ini untuk melihat kerosakan yang meluas akibat kebakaran hutan Maui baru-baru ini, bertemu dengan mangsa yang terselamat dan menangkis kritikan bahawa kerajaannya terlalu lambat bertindak balas terhadap bencana itu.
Biden dan Wanita Pertama, Jill Biden akan tiba hampir dua minggu selepas kebakaran teruk melanda bandar bersejarah Lahaina, meragut sekurang-kurangnya 114 nyawa dan mungkin lebih ramai lagi memandangkan lebih 1,000 orang masih hilang.
Selepas tinjauan udara mengenai kerosakan dan taklimat oleh pegawai tempatan, Biden merancang untuk mengumumkan pelantikan ketua penyelaras tindak balas persekutuan untuk mengawasi usaha pemulihan, menurut seorang pegawai Rumah Putih.
Bob Fenton dari Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) adalah ‘salah seorang pegawai tindak balas dan pemulihan bencana yang paling berpengalaman di negara ini yang telah berada di Hawaii sejak kebakaran hutan bermula,’ kata pegawai itu.
Biden juga akan mengumumkan dana kecemasan bernilai AS$3 juta yang diminta oleh Jabatan Pengangkutan Hawaii untuk mengimbangi kos yang berkaitan dengan perkhidmatan pengurusan lalu lintas dan pembaikan infrastruktur.
Biden mengeluarkan deklarasi bencana besar pada 10 Ogos, dua hari selepas kebakaran yang dahsyat, untuk mempercepatkan pembiayaan dan bantuan kerajaan persekutuan ke kawasan itu.
Namun beberapa pengkritik, termasuk mangsa yang terselamat yang tidak berpuas hati di Hawaii dan beberapa anggota Republikan yang berharap bersaing dengan Biden dalam pilihan raya presiden tahun depan, berkata bantuan persekutuan tidak mencukupi dan tidak dirancang dengan baik. – AFP


