Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden kecam dasar Israel terhadap Gaza

    WASHINGTON, 10 APRIL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata dasar Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di Gaza merupakan ‘kesilapan’ dan menggesa Israel supaya melaksanakan gencatan senjata, dalam satu wawancara yang disiarkan, kelmarin.

    Komen Biden adalah sebahagian daripada kritikannya yang paling tegas terhadap Netanyahu di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat mengenai jumlah kematian orang awam akibat perang Israel ke atas Hamas dan keadaan teruk di Gaza.

    “Saya fikir apa yang dia lakukan adalah satu kesilapan. Saya tidak bersetuju dengan pendekatannya,” kata Biden kepada rangkaian televisyen berbahasa Sepanyol AS, Univision, apabila ditanya mengenai pengendalian perang oleh Netanyahu.

    Biden mengulangi serangan dron Israel minggu lalu yang membunuh tujuh orang pekerja bantuan dari badan amal yang berpangkalan di AS adalah ‘keterlaluan.’

    “Jadi, apa yang saya gesa adalah Israel melaksanakan gencatan senjata, membenarkan enam, lapan minggu akan datang, akses penuh kepada semua makanan dan ubat-ubatan yang masuk ke negara itu,” tambah Biden.

    Kenyataan beliau mengenai gencatan senjata menandakan peralihan daripada komen beliau sebelum ini, di mana beliau berkata beban terletak pada Hamas untuk bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

    Biden juga meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk membenarkan lebih banyak bantuan ke Gaza yang telah musnah, dengan mengatakan beliau telah bercakap dengan Arab Saudi, Jordan dan Mesir, dan mereka ‘bersedia untuk membawa masuk bantuan makanan ke negara itu.’ – AFP

    Penduduk Palestin berjalan melalui bangunan yang musnah susulan serangan udara dan darat Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, pada 8 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda