Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Biden lancar perjanjian perdagangan Indo Pasifik

    TOKYO, 23 MEI – Presiden Joe Biden hari ini melancarkan perjanjian perdagangan baharu dengan 12 negara Indo Pasifik bertujuan memperkukuhkan ekonomi negara ketika beliau mengingatkan Amerika Syarikat (AS) bimbang mengenai inflasi tinggi yang perlu ‘dibaik pulih’ sebelum ekonomi kembali mencatat pemulihan.

    Presiden berkata beliau percaya kegawatan ekonomi juga akan berlaku di AS. Biden, bercakap pada sidang media selepas mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, mengakui ekonomi AS mempunyai ‘masalah’ namun berkata masalah yang dihadapi ‘tidak sama’ berbanding negara lain.

    “Ia perlu dibaik pulih dan akan mengambil masa,” tambah beliau. Biden mengeluarkan komen tersebut sebelum melancarkan Rangka Kerja Ekonomi Indo Pasifik, perjanjian perdagangan baharu yang dibangunkan oleh pentadbirannya untuk mencapai kestabilan dalam perdagangan selepas gangguan yang dicetuskan oleh pandemik serta serangan Rusia ke atas Ukraine.

    Negara-negara yang menyertai AS dalam Rangka kerja Ekonomi Indo Pasifik ialah Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Bersama dengan Amerika Syarikat, mereka menyumbang 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

    Negara-negara berkata dalam satu kenyataan bersama bahawa perjanjian itu akan membantu mereka ‘mempersiapkan ekonomi negara untuk menghadapi masa depan’ susulan gangguan berpunca daripada pandemik COVID dan serangan Rusia di Ukraine.

    Ketika bertemu dengan Kishida, Biden berkata rangka kerja baharu itu juga akan menambah kerjasama AS dengan negara lain di rantau berkenaan.

    Rumah Putih berkata rangka kerja itu akan membantu AS dan ekonomi Asia lain bekerjasama dengan lebih erat mengenai isu termasuk rantaian bekalan, perniagaan digital, tenaga bersih, perlindungan pekerja dan usaha antirasuah. Butir-butir masih perlu dibincangkan di kalangan negara anggota, menjadikannya sukar untuk pentadbiran berkata bagaimana perjanjian ini mampu menunaikan janji untuk membantu pekerja dan perniagaan AS sementara juga memenuhi keperluan global.

    Pelancaran Rangka Kerja Ekonomi Indo Pasifik, juga dikenali sebagai IPEF, telah dialu-alukan Rumah Putih sebagai salah satu peristiwa penting dalam lawatan Biden ke Asia dan usaha berterusan beliau untuk merangsang hubungan dengan sekutu Pasifik. – AP

    Presiden Joe Biden dan Perdana Menteri Fumio Kishida menghadiri Rangka Kerja Ekonomi Indo Pasifik dengan pemimpin serantau lain menerusi pautan video di Galeri Taman Izumi di Tokyo kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...