WASHINGTON, 15 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang akan tamat perkhidmatannya Joe Biden, kelmarin mengumumkan larangan terhadap teknologi dari China dan Rusia dalam kenderaan, berikutan kebimbangan keselamatan negara, lapor agensi berita Jerman dpa.
Peraturan baharu ini akan menghalang penjualan dan pengimportan sistem perkakasan dan perisian kenderaan terhubung atau pintar, serta kenderaan pintar yang lengkap, dari China dan Rusia, menurut kenyataan Rumah Putih yang dikeluarkan kelmarin.
Menurut Rumah Putih, sekatan terhadap perisian akan berkuat kuasa bagi model keluaran 2027, manakala sekatan terhadap perkakasan akan dikenakan bagi model keluaran 2030.
Kenyataan Rumah Putih menyebut yang langkah itu bagi ‘melindungi Amerika daripada risiko keselamatan negara yang berkaitan dengan penyalahgunaan rantaian bekalan kenderaan pintar oleh China dan Rusia.’
“Pentadbiran Biden-Harris komited untuk memastikan yang rantaian bekalan automotif kita kukuh dan selamat daripada ancaman siber pihak musuh asing,” tambah kenyataan itu.
Dasar itu dilihat menjejaskan kenderaan buatan AS, meletakkan syarikat seperti Polestar, yang mengeluarkan kenderaan di Carolina Selatan tetapi mempunyai kepentingan syarikat Geely dari China, dalam kedudukan yang sukar. – Bernama