WASHINGTON, 5 SEPT – Presiden Joe Biden akan melawat New York, Pennsylvania, dan Virginia sempena ulang tahun ke-20 serangan 9/11, menurut kenyataan Rumah Putih.
“Pada Sabtu, 11 September, Presiden dan isteri, Jill Biden akan mengunjungi ketiga-tiga lokasi serangan 9/11: New York City, New York, Shanksville, Pennsylvania dan Pentagon di Arlington, Virginia, untuk memperingati ribuan nyawa yang terkorban dalam tragedi itu, 20 tahun lalu,” lapor Sputnik.
Menurut kenyataan itu, Naib Presiden Kamala Harris dan suami Douglas Emhof akan ke Shanksville dalam satu acara berasingan sebelum menyertai Presiden di Pentagon. Pada Jumaat, Biden menandatangani perintah eksekutif mengarahkan pentadbirannya untuk meneliti beberapa dokumen berkaitan siasatan FBI terhadap serangan pengganas 11 September 2001.
Di bawah arahan itu, Jabatan Kehakiman dan agensi persekutuan lain diminta mengkaji dokumen dan melihat beberapa maklumat yang mungkin boleh dikongsi kepada umum. Sejak bertahun-tahun sejumlah keluarga mangsa serangan 9/11 mendesak kerajaan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai tragedi itu.
Pada 11 September 2001, empat pesawat dirampas Al-Qaeda, dua merempuh bangunan World Trade Center (WTC) di New York manakala sebuah lagi pesawat melanggar bangunan Pentagon berhampiran Washington, DC. Pesawat keempat terhempas di Pennsylvania. – Bernama
