WASHINGTON, 20 FEB – Presiden Joe Biden berkunjung ke California hari ini untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk kempen pilihan raya semula beliau semasa lawatan tiga hari di negeri itu.
Sebelum lawatan itu, kempen Biden dan Jawatankuasa Kebangsaan Demokratik mengumumkan hari ini bahawa mereka telah mengumpul AS$42 juta dalam sumbangan sepanjang Januari daripada 422,000 penderma. Biden mengakhiri Januari dengan AS$130 juta dalam tunai.
Pegawai kempen berkata ia adalah jumlah tertinggi yang dikumpul oleh mana-mana calon Demokrat pada ketika ini dalam kitaran pemilihan.
Pengurus kempen Biden, Julie Chavez Rodriguez menyifatkan kutipan itu sebagai ‘bukti kekuatan yang tidak dapat dipertikaikan untuk memulakan tahun pilihan raya.’
“Sementara Pasukan Biden-Harris terus membangunkan jentera kutipan dananya, ahli Republikan pula berbelah bahagi – sama ada membelanjakan wang untuk melawan Donald Trump, atau membelanjakan wang untuk menyokong agenda melampau Donald Trump,” katanya.
Kempen itu perlu meneruskan kutipan dana untuk apa yang dijangka menjadi pertarungan sengit dan mahal dengan bekas Presiden Trump, yang telah muncul sebagai kemungkinan calon GOP.
Kunjungan minggu ini ke Los Angeles dan kawasan Teluk San Francisco akan menandakan lawatan ketiga Biden ke California dalam masa lebih dua bulan untuk acara politik. Beliau cuba menebus masa yang hilang selepas sebahagian besarnya mengelak kubu penderma Demokrat semasa mogok tahun lalu oleh Persatuan Penulis Amerika dan SAG-AFTRA.
Biden akan ke Los Angeles, di mana beliau akan mengambil bahagian dalam acara pengumpulan dana. Beliau juga akan membuat persinggahan kempen di San Francisco dan Los Altos Hills minggu ini serta menyampaikan ucapan dasar berhampiran Los Angeles esok. – AP


