WASHINGTON, 24 MAC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kelmarin menandatangani rang undang-undang (RUU) perbelanjaan berjumlah AS$1.2 trilion, beberapa jam selepas terlepas tarikh akhir untuk mengelak penutupan sebahagian kerajaan persekutuan, lapor Xinhua.
Ini selepas Dewan Perwakilan AS meluluskan RUU itu Jumaat lalu manakala Senat pagi kelmarin, kira-kira dua jam selepas tarikh akhir penutupan.
“Oleh kerana dana persekutuan diuruskan dan dipantau setiap hari, agensi persekutuan tidak akan ditutup dan boleh terus beroperasi seperti biasa,” menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.
RUU itu akan menyediakan pembiayaan untuk jabatan pertahanan, keselamatan dalam negeri, buruh, kesihatan dan perkhidmatan manusia, pendidikan, negeri dan cawangan perundangan sepanjang tahun fiskal 2024, yang berakhir pada 30 September.
Selain daripada RUU bernilai AS$459 bilion yang diluluskan pada awal bulan ini, langkah baharu itu menyediakan pembiayaan penuh bagi kerajaan persekutuan berjumlah AS$1.659 trilion sehingga hujung September.
Dalam pakej terdahulu, Kongres meluluskan pembiayaan tahunan bagi pelbagai jabatan, termasuk pertanian, tenaga dan alam sekitar, perumahan, pengangkutan, veteran, dan kehakiman.
Kongres yang berpecah telah mengelak beberapa penutupan semasa sesi ini dengan menggunakan RUU stopgap yang terus melanjutkan tarikh akhir penutupan kerajaan. – Bernama
