WASHINGTON, 1 SEPT – Rumah Putih akan mencari tambahan AS$4 bilion untuk mengatasi bencana alam sebagai sebahagian daripada permintaan pembiayaan tambahan mereka – tanda-tanda bahawa kebakaran hutan, banjir dan taufan yang telah bertambah buruk semasa tempoh perubahan iklim menelan kos yang semakin tinggi ke atas pembayar cukai AS.
Pentadbiran Biden pada mulanya telah meminta AS$12 bilion dalam pembiayaan tambahan untuk dana bantuan bencana Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, yang membantu dalam usaha menyelamat dan bantuan.
Namun seorang penganalisis dasar di Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Shelby Wagenseller berkata bahawa kebakaran di Hawaii dan Louisiana serta banjir di Vermont dan Taufan Idalia yang melanda Florida dan negeri Tenggara lain bermakna sejumlah AS$16 bilion diperlukan.
Sehingga Selasa lalu, Pentadbir FEMA, Deanne Criswell menekankan bahawa AS$12 bilion adalah cukup untuk memenuhi keperluan agensi itu hingga akhir tahun kewangan bulan ini. Criswell memberitahu wartawan dalam sidang akhbar di Rumah Putih bahawa jumlah yang lebih rendah “akan membantu keperluan hingga ke akhir tahun kewangan ini.”
“Jika kita terus mengalami lebih banyak ribut, kita akan sentiasa memantau rapat keadaan Dana Bantuan Bencana untuk menentukan apa lagi yang mungkin diperlukan,” kata Criswell.
“Tetapi pada masa ini, permintaan tambahan akan membantu hingga ke akhir tahun fiskal ini.” – AP


