Friday, January 3, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden, pemimpin dunia kenang legasi Jimmy Carter

    WASHINGTON, 30 DIS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin dunia lain mengenang legasi bekas Presiden AS, Jimmy Carter, yang meninggal dunia kelmarin pada usia 100 tahun.

    Biden menyifatkan Carter sebagai simbol ‘kesederhanaan dan kemanusiaan’, dengan legasi yang mencerminkan dedikasi kepada keamanan, hak asasi manusia dan keadilan sosial.

    “Jimmy Carter hidup dengan prinsip, bukan hanya kata-kata,” katanya, sambil mengenang hubungan peribadi mereka selama lebih 50 tahun.

    Biden turut mengisytiharkan 9 Januari 2025 sebagai hari berkabung nasional bagi memperingati pemergian bekas presiden itu, menurut kenyataan Rumah Putih, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    Carter, yang menerima Hadiah Nobel Keamanan pada 2002 dikenang atas usahanya menyelesaikan konflik Timur Tengah, mengurangkan ketegangan di Semenanjung Korea dan menyokong perdamaian global.

    Gambar fail Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berjabat tangan bersama Jimmy Carter (kiri) semasa pertemuan di Ramallah pada 2 Mei 2015. – AP

    Agensi berita Sputnik melaporkan para pemimpin dunia mengucapkan takziah dan mengingati legasi Carter.

    Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyampaikan penghormatan mereka kepada Carter, menggambarkannya sebagai pembela hak asasi manusia dan demokrasi.

    “Sepanjang hidupnya, Jimmy Carter telah menjadi pembela yang gigih untuk hak-hak mereka yang paling terdedah dan tanpa jemu berjuang untuk keamanan,” kata Macron.

    Sementara itu, Lula menggelar Carter “seorang pembela demokrasi dan keamanan.”
    Presiden Mesir, Abdel Fattah Sisi pula berkata Carter memainkan peranan dalam menyelesaikan konflik antara Mesir dan Israel.

    Pada 1979, Mesir dan Israel menandatangani perjanjian damai di bawah naungan AS.

    Proses itu dipanggil Perjanjian Camp David dan Mesir memperoleh semula Semenanjung Sinai yang diduduki oleh Israel pada 1967.

    “Peranan cemerlang beliau dalam mencapai perjanjian damai antara Mesir dan Israel akan kekal dalam catatan sejarah dan kerja kemanusiaannya melambangkan contoh tertinggi kecintaan, keamanan dan persaudaraan,” kata Sisi.

    Pemimpin lain seperti Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel turut memujinya atas usaha kemanusiaan dan diplomatik.

    Walaupun pentadbirannya selama empat tahun dicemari dengan krisis seperti tawanan Iran dan inflasi tinggi, beliau dikenang sebagai seorang negarawan yang berprinsip.

    Carter, Presiden AS ke-39 yang berkhidmat dari 1977 hingga 1981, meninggal dunia di kampung halamannya, Plains, Georgia. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda