Friday, February 14, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden promosi dasar iklim dalam lawatan ke barat daya AS

    WASHINGTON, 7 OGOS – Presiden Joe Biden dijadualkan untuk memulakan satu siri lawatan hari ini untuk mempromosikan agenda iklimnya di barat daya Amerika Syarikat (AS), yang telah mengalami musim panas ekstrem dengan suhu yang memecahkan rekod.

    Persinggahan pertama dalam lawatannya ialah Grand Canyon di Arizona di mana, menurut beberapa media AS, beliau mungkin akan menamakan taman kebangsaan baharu.

    Pengisytiharan tersebut secara efektif akan menghalang perlombongan uranium di kawasan itu, larangan yang telah dituntut selama beberapa dekad oleh puak asli Amerika tempatan.

    Biden, yang bertanding untuk pemilihan semula, merancang untuk menggunakan lawatan itu untuk “menekankan bagaimana pentadbirannya telah membuat pelaburan sejarah dalam iklim, pemuliharaan dan tenaga bersih,” menurut Rumah Putih.

    Dia juga akan menghabiskan masa di Arizona esok, sebelum berkunjunga ke New Mexico pada keesokan harinya.

    Kedua-dua negeri dan wilayah itu telah mengalami gelombang haba yang teruk pada musim panas ini, dengan ibu negeri Arizona, Phoenix pada Julai mencatatkan bulan paling panas pernah berlaku untuk sebuah bandar di AS.

    Para saintis memberi amaran bahawa pemanasan global menjadikan gelombang haba lebih panas, lebih lama dan lebih kerap.

    Lawatan ke beberapa negeri itu diadakan menjelang ulang tahun pemeteraian Akta Pengurangan Inflasi Biden, satu pakej besar pelaburan iklim dan program lain yang telah menjadi tumpuan dalam penggal pertamanya sebagai presiden. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda