WASHINGTON, 8 DIS – Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada hari ini mengadakan panggilan video membincangkan pelbagai isu dua hala serta krisis Ukraine dan perjanjian nuklear Iran, lapor agensi berita Xinhua.
Biden ‘menyuarakan kebimbangan mendalam’ AS dan sekutu Eropahnya tentang ‘peningkatan kuasa Rusia di Ukraine dan menjelaskan bahawa AS dan sekutunya akan bertindak balas dengan langkah ekonomi yang kukuh dan lain-lain sekiranya berlaku peningkatan tindakan ketenteraan,’ kata Rumah Putih dalam satu kenyataan selepas mesyuarat itu.
Biden mengulangi sokongannya terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine dan menyeru agar pencerobohan dihentikan dan kembali kepada diplomasi, kata kenyataan itu.
“Kedua-dua presiden menugaskan pasukan masing-masing untuk mengadakan perbincangan susulan, dan AS akan berbuat demikian menerusi penyelarasan rapat dengan sekutu dan rakan kongsi,” katanya.
Kenyataan itu menyebut kedua-dua Presiden juga membincangkan dialog AS-Rusia mengenai Kestabilan Strategik, satu dialog berasingan mengenai perisian ransomware, serta kerjasama mengenai isu serantau seperti Iran.
Sebagai syarat untuk membaiki hubungan dua hala, Putin menawarkan Biden agar menarik balik semua sekatan yang dikenakan ke atas fungsi misi diplomatik Rusia dan AS.
Biden dan Putin mengadakan pertemuan secara bersemuka pertama mereka dalam sidang kemuncak di Geneva pada Jun dan berbincang melalui panggilan telefon pada Julai. – Bernama
