Biden sambut Willow ke Rumah Putih

WASHINGTON, 28 JAN – Presiden Joe Biden dan wanita pertama Jill Biden akhirnya membela kucing yang sudah lama dijanjikan.

Diberi nama Willow, kucing betina itu berusia dua tahun memiliki mata berwarna hijau dengan bulu berwarna kelabu berbelang putih yang berasal dari kucing ladang Pennsylvania.

“Willow kini menetap di Rumah Putih bersama permainan kegemarannya, diberi keistimewaan lain serta banyak bilik untuk dihidu dan dijelajahinya,” kata Michael LaRosa, jurucakap bagi wanita pertama.

Jill Biden pernah berkata selepas Joe Biden terpilih sebagai presiden pada November 2020, mereka akan membawa seekor kucing ke Rumah Putih, namun rancangan tersebut tertangguh.

Bulan lalu, Rumah Putih berkata kucing itu akan tiba pada Januari. Wanita pertama menamakan Willow sempena nama tempat kelahirannya, Willow Grove, Pennsylvania
Kucing jenis berbulu pendek berbelang itu membuat tanggapan baik ke atas Jill Biden selepas ia melompat di atas pentas dan mengganggu seketika ucapannya semasa jelajah kempen 2020 di Pennsylvania, kata LaRosa.

“Melihat ikatan erat itu, pemilik ladang tahu yang Willow kepunyaan Dr Biden,” katanya.
Rumah Putih tidak pernah membela felin sejak India, kucing milik Presiden George W. Bush.

Willow menyertai Commander, seekor anak anjing German Shepherd yang Joe Biden perkenalkan pada Disember sebagai hadiah ulang tahun daripada adiknya, James Biden dan isterinya, Sara.

Pasangan Biden itu mempunyai dua lagi anjing German Shepherd iaitu Champ dan Major di Rumah Putih sebelum adanya Commander.

Namun Major, seekor anjing penyelamat berusia tiga tahun, mula bertindak agresif selepas tiba pada Januari 2021, termasuk insiden gigitan.

Rumah Putih berkata Major masih lagi menyesuaikan keadaannya dengan rumah baharu dan telah dihantar semula ke Delaware untuk melatihnya.

Pasangan itu, selepas mendapatkan khidmat pelatih anjing, doktor dan pengikut behaviorisme haiwan, telah memutuskan untuk mengikuti saranan pakar dan menghantar Major untuk tinggal dalam persekitaran lebih senyap bersama rakan baik keluarga, kata LaRosa bulan lalu.

Champ mati pada bulan Jun ketika berusia 13 tahun. – AP