Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden sekat perjanjian pembelian US Steel bernilai AS$14.9 bilion

    WASHINGTON, 3 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah memutuskan untuk menyekat cadangan pembelian US Steel bernilai AS$14.9 bilion oleh Nippon Steel dari Jepun dan dijangka akan mengumumkan keputusan tersebut hari ini, menurut laporan media AS.

    Pengumuman keputusan presiden itu sedang dirancang melainkan Biden membuat perubahan keputusan pada saat akhir, menurut laporan dari Washington Post dan New York Times.

    Biden membuat keputusan untuk menolak perjanjian itu meskipun terdapat usaha oleh beberapa penasihat kanan beliau dalam beberapa hari kebelakangan ini, yang memberi amaran bahawa sekatan pelaburan besar dari syarikat Jepun terkemuka itu boleh menjejaskan hubungan Washington dengan Tokyo, menurut laporan Post.

    Tiada kenyataan segera dikeluarkan oleh Rumah Putih pada malam kelmarin dan Nippon Steel juga enggan memberi ulasan apabila dihubungi oleh AFP.

    Keputusan itu dibuat oleh Biden selepas sebuah panel kerajaan AS gagal mencapai kata sepakat pada akhir Disember mengenai sama ada pemerolehan US Steel oleh Nippon Steel mengancam keselamatan negara AS.

    Perjanjian kontroversial itu dirujuk kepada Biden selepas Jawatankuasa Pelaburan Asing di Amerika Syarikat (CFIUS) tidak mencapai persetujuan. Biden, yang dikehendaki bertindak dalam tempoh 15 hari mengikut undang-undang, telah mengkritik perjanjian itu selama beberapa bulan, menyertai konsensus besar dalam kalangan pemimpin AS yang membidas transaksi tersebut.

    Perjanjian itu turut mencetuskan perdebatan semasa kempen pilihan raya presiden AS 2024 apabila Pennsylvania menjadi negeri yang membantah transaksi itu. Ketua kesatuan pekerja Steelworkers turut membantah perjanjian tersebut.

    Nippon Steel telah menggambarkan transaksi itu sebagai penyelamat kepada industri keluli Pennsylvania yang semakin merosot. – AFP

    Gambar menunjukkan papan tanda pada bahagian luar bangunan yang terbakar akibat letupan semasa lawatan media oleh syarikat Jepun, Nippon Steel di Kashima, wilayah Ibaraki, utara Tokyo pada 6 Disember lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda