WASHINGTON, 4 APRIL – Pentadbiran Presiden Joe Biden menyediakan AS$450 juta untuk ladang solar dan projek tenaga bersih lain di seluruh negara di tapak lombong arang batu semasa atau bekasnya, sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk menangani perubahan iklim.
Sebanyak lima projek di seluruh negara akan dibiayai melalui undang-undang infrastruktur 2021, dengan sekurang-kurangnya dua projek diperuntukan untuk ladang solar, kata Rumah Putih hari ini.
Rumah Putih juga berkata ia akan membenarkan pembangun projek te-naga bersih mengambil keuntungan berbilion dolar dalam bonus baharu yang ditawarkan sebagai tambahan kepada pelaburan dan kredit cukai pengeluaran yang tersedia melalui Akta Pengurangan Inflasi 2022. Bonus itu akan “menggalakkan lebih banyak pelaburan tenaga bersih dalam komuniti tenaga, terutamanya komuniti arang batu,” yang telah terjejas oleh penurunan lebih sedekad pengeluaran arang batu AS, kata Rumah Putih.
Tindakan itu adalah antara langkah yang diambil oleh pentadbiran Biden ketika presiden Demokrat itu bertindak untuk menukar ekonomi AS kepada tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan solar, sambil beralih daripada arang batu dan bahan api fosil lain yang menghasilkan pelepasan gas rumah hijau yang memanaskan planet.
Projek-projek itu berdasarkan model tapak yang dilawati Biden musim panas lalu, di mana bekas loji janakuasa arang batu di Massachusetts beralih kepada kuasa angin luar pesisir.
Biden menyerlahkan bekas loji janakuasa Brayton Point di Somerset, Massachusetts, menyebutnya sebagai penjelmaan peralihan kepada tenaga bersih yang dicarinya tetapi telah bergelut untuk merealisasikan dalam dua tahun pertama pentadbirannya. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P13-A-paper-web_05042023.jpg)