Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biden umum Pelan Ekonomi AS$1.75 trilion

    WASHINGTON, 29 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melancarkan Pelan Ekonomi dan Perubahan Iklim bernilai AS$1.75 trilion.

    Katanya, pelan itu mendapat sokongan daripada Demokrat dan adalah rangka kerja ekonomi bersejarah yang akan mewujudkan pekerjaan dan menjadikan AS lebih berdaya saing.

    “Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa selepas berbulan-bulan rundingan yang sukar dan bernas, saya fikir kita mempunyai rangka kerja ekonomi yang bersejarah.

    “Ia akan mewujudkan jutaan pekerjaan, mengembangkan ekonomi, pelaburan dalam negara dan rakyat kita serta mengubah krisis iklim menjadi peluang baharu.

    “Ini bukan saja membolehkan kita bersaing tetapi mampu memenangi persaingan ekonomi abad ke-21 menentang China dan setiap negara besar lain di dunia,” katanya.

    Presiden JoeBiden bercakap mengenai agenda domestik dari EastRoom Rumah Putih di Washington pada 28 Oktober 2021. – AP

    Beliau berkata demikian selepas lawatan ke Kongres untuk meyakinkan kumpulan progresif yang enggan menyokong pelan perbelanjaan itu.

    Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada parti Demokrat mahukan pelan infrastruktur dua parti bernilai AS$1 trilion yang diluluskan terlebih dulu.

    Difahamkan, sesetengah ahli Demokrat progresif hanya akan mengundi Rang Undang-Undang (RUU) Infrastruktur dengan langkah perbelanjaan lebih terperinci dan ada pula yang ingin melihat perubahan pada rangka kerja Biden.

    Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi, membincangkan rancangan untuk mengadakan undian pada Khamis ini mengenai RUU Infrastruktur dan Jawatankuasa Peraturan Dewan mengeluarkan teks awal RUU setebal 1,684 muka surat.

    Peruntukan lebih AS$2.75 trilion bagi perbelanjaan yang boleh membentuk ekonomi AS untuk tahun mendatang boleh berlaku dalam beberapa hari ini, dengan Biden terbabit dalam kebanyakan rundingan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda