Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bidoglio mahu JDT kekalkan momentum kemenangan

    ISKANDAR PUTERI, 21 NOV – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, mahu pasukannya mengekalkan momentum kemenangan bagi mempertahankan Piala Malaysia.

    Beliau meluahkan rasa puas hati dengan prestasi pemainnya yang menewaskan Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0, pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala
    Malaysia 2024/25, malam tadi sambil menyifatkannya sebagai satu perlawanan yang mencabar.

    “Ia perlawanan yang sukar, kerana apabila lawan bermain terlalu bawah dengan sembilan pemain bertahan sepanjang masa, sukar untuk kami mencari ruang menghubungkan dengan barisan serangan.

    “Namun pada pandangan saya, pemain telah mencuba memberikan 100 peratus, menggerakkan bola ke sisi dan cuba menembusi barisan pertahanan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu semalam.

    Beliau berkata para pemain perlu mengelakkan kesilapan dan memberikan fokus sepenuhnya dalam setiap perlawanan.

    Aksi Romel Oswaldo Morales Remirez (kanan) pada perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada 20 November. – Bernama

    “Sekarang, kami perlu memberi tumpuan kepada semua kejohanan.

    Kami sedang bermain dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan kini dalam Piala Malaysia.

    “Setiap perlawanan adalah sukar dan kami perlu bermain dengan serius, memperbaiki prestasi dan terus mencatatkan kemajuan,” katanya.

    Sementara itu Ketua Jurulatih KL Rovers Wan Mustaffa Wan Ismail berkata anak buahnya perlu bangkit pada perlawanan timbal balik menentang JDT.

    Beliau berkata walaupun tewas, pasukannya mampu memberikan tentangan kepada Harimau Selatan dan mencipta beberapa peluang.

    “Pemain beraksi mengikut arahan, kami cuba bertahan di bahagian tengah dan menyerang untuk mencuri bola dan barisan pertahanan kami juga dapat bertahan sehingga minit terakhir.

    “Bagaimanapun saya masih yakin walau apa pun berlaku, pastikan kita ada peluang pada aksi timbal balik kedua dan kembali bangkit dengan corak permainan yang berbeza,” katanya.

    Perlawanan timbal balik antara kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada 30 November. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda