WASHINGTON, 1 NOV – Stephen Biegun, veteran dasar luar Amerika Syarikat (AS) yang disegani dalam tugas sukar memimpin diplomasi dengan Korea Utara, semalam dinamakan sebagai orang nombor dua Jabatan Negara, satu peranan yang mungkin menjadi lebih penting pada bulan-bulan akan datang.
Presiden Donald Trump mengumumkan pencalonan Biegun untuk mengganti Penolong Setiausaha Negara John Sullivan, yang telah dilantik menjadi duta ke Rusia.
Pencalonan itu menarik tumpuan di tengah spekulasi meningkat bahawa Setiausaha Negara Mike Pompeo akan bertanding untuk Senat pada tahun depan di Kansas, bermakna Biegun mungkin menjadi pemangku diplomat tertinggi AS, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ini.
Biegun, dengan pencalonan memerlukan pengesahan dari Senat, akan kekal sebagai wakil khas mengenai Korea Utara, satu jawatan yang disandangnya selepas sidang kemuncak pertama bersejarah Trump dengan pemimpin Kim Jong Un, kata pegawai AS.
Biegun pada mulanya menerima respon dingin daripada pegawai Korea Utara yang, sedar bahawa kedua-dua pemimpin negara sedang berunding mengenai program nuklear Pyongyang, tidak melihat sebab-sebab untuk berurusan dengan duta mengenai sebarang isu kecuali logistik sidang kemuncak.
Namun Biegun mencatat kejayaan pada awal Oktober apabila beliau bertemu dengan ketua perunding Korea Utara Kim Myong Gil di Sweden.
Korea Utara keluar daripada rundingan, mengecam sikap AS, namun Amerika Syarikat mengeluarkan satu kenyataan positif berkata Biegun tidak pernah me-rancang untuk menyelesai semua isu dalam sehari dan kedua-dua pihak akan bertemu lagi. – AFP
