Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bijak leraikan pergaduhan anak

    ISU pergaduhan di kalangan adikber-adik memang tidak pernah selesai. Ia merupakan masalah biasa di kalangan ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak.

    Tidak kira dalam apa cara sekalipun, mereka akan tetap bergaduh. Sekejap sahaja mereka berbaik, lepas itu mereka kembali bergaduh.

    Tetapi kata orang tua-tua, air dicincang tidak akan putus. Hubungan adik-beradik tidak akan terputus biarpun mereka kerap bergaduh. Ia sebahagian daripada proses tumbesaran anak-anak.

    Pergaduhan sesama mereka sebenarnya dapat mendidik banyak perkara seperti sikap bertolak ansur, bersabar, komunikasi dan kemaafan.

    Mungkin bagi anak kecil bergaduh sesama adik-beradik mesti disebabkan berebut alat permainan, berebut rancangan televisyen atau salah seorang suka mengusik.

    Isu pergaduhan di kalangan adik-beradik merupakan masalah biasa di kalangan ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak.

    Tetapi mungkin kita terlupa adakalanya beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi anak-anak dalam memulakan pergaduhan.

    Ada anak berasa dia kurang mendapat perhatian seperti mana adik-beradik lain. Walhal ibu dan ayah tidak pernah beranggapan begitu. Biasanya perasaan itu terbit dari dalam diri anak sulung. Kadang kala ibu ayah berasakan anak sulung sudah besar dan perlu memikul banyak tanggungjawab dan perlu mengalah dalam banyak hal.

    Hal tersebut menimbulkan perasaan kurang senang di dalam diri anak lalu mereka mula mencari hal dengan adik-beradik lain. Fasa pembesaran mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain.

    Menangani situasi anak-anak kerap bergaduh memerlukan kesabaran dan pendekatan yang betul agar tidak mencalarkan emosi anak-anak.

    Faham emosi setiap anak

    Sebagai ibu dan bapa, kita perlu cuba memahami emosi setiap anak-anak. Mereka mempunyai karektor yang berbeza antara satu sama lain. Jadi pendekatan yang digunakan semasa mendisplinkan mereka mungkin perlu berbeza.

    Jangan pinggirkan anak sulung

    Walaupun bergelar anak sulung, mereka tetap seorang anak yang memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian yang sama seperti adik-beradik lain. Kadangkala mereka juga mahu mendapat perhatian sama seperti adik-adik yang lain. Jadi, jangan abaikan mereka dengan alasan anak sulung sudah besar dan boleh membuat banyak perkara sendiri

    Sediakan makanan yang cukup

    Adakalanya perasaan bosan, keletihan dan lapar turut menyebabkan anak-anak bergaduh sesama mereka. Jadi, sediakan keperluan makanan yang cukup di rumah dan bagi mereka cukup makan tanpa ada peluang merasa lapar. Selain itu tetapkan juga masa untuk tidur siang atau berehat supaya dapat mengelakkan keletihan selepas bermain.

    Buat aktiviti

    Pada cuti hujung minggu, sediakan jadual aktiviti yang bermanfaat bagi mengelakkan anak-anak kecil cepat bosan, merengek, mengusik satu sama lain dan menyebabkan timbul pergaduhan.

    Beri tanggungjawab

    Untuk mengelakkan mereka bergaduh, sediakan setiap orang anak tanggungjawab masing-masing.

    Contohnya, selepas makan, anak sulung perlu membasuh pinggan sementara yang kecil bantu mengutip sisa makanan yang berterabur dan lain-lain tugas yang sesuai mengikut usia.

    Secara tidak langsung ia dapat mengelakkan daripada timbul pergaduhan kerana masing-masing sibuk mengarah dan ada yang mengelak daripada membuat kerja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda