Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Dalam pemilihan buku dan bahan bacaan, para pelajar ditegaskan untuk bersikap bijaksana, pandai menimbang dan meneliti buku atau bahan bacaan itu kerana dalam era globalisasi, banyak anasir negatif yang ingin mempengaruhi manusia sejagat melalui pelbagai cara dan halus.
“Pilihlah buku yang tinggi mutunya dari segi pengisian dan banyak memberikan manfaat dalam kehidupan.”
Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf ketika berucap di Majlis Sambutan dan Pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2017 yang berlangsung di Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM), hari ini.
“Tetapi perlu juga diambil perhatian bahawa memilih buku bacaan yang hanya mengkhususkan pada bidang diceburi saja bukanlah cara yang bijak kerana itu tidak mencukupi untuk memperluas dan memperkayakan ilmu kerana kita perlu membaca buku daripada pelbagai bidang disiplin ilmu.”
Tambahnya lagi, “Dalam konteks membudaya ilmu, pemerolehan ilmu tidak disempitkan dengan hanya menumpukan satu cabang ilmu semata-mata tetapi umat manusia amat digalakkan untuk menuntut ilmu tanpa sempadan.”
Perkara itu, ulasnya, adalah selaras dengan misi Kementerian Pendidikan iaitu untuk memberikan pendidikan yang holistik bagi mencapai potensi yang penuh bagi semua.
Di samping itu, Haji Zulkifli turut menyeru para pelajar supaya membaca buku bukan sekadar untuk peperiksaan semata-mata dan sikap begitu harus dikikis kerana kejayaan sebenarnya bukan sekadar lulus dalam peperiksaan.


“Pelajar-pelajar perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan meningkatkan potensi dan keupayaan diri dalam menyumbang kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.”
Beliau berkata bahawa dengan amalan membaca yang berterusan saja dapat menambah ilmu pengetahuan dan mengetahui perkara-perkara baru yang tidak diketahui sebelumnya.
“Pelajar-pelajar juga dapat meneroka dan mengetahui isu-isu atau perkembangan semasa yang berlaku di pelosok dunia,”tambahnya.
Beliau juga berkata bahawa kerajaan amat menitikberatkan pendidikan untuk semua lapisan rakyat di negara ini.
“Bagi memastikan pelajar-pelajar di negara ini dapat menimba ilmu secukupnya ialah dengan menyediakan kemudahan perpustakaan pada semua sekolah, maktab dan institusi.
“Pihak Kementerian Pendidikan akan memastikan bahan-bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan mendatangkan manfaat, menyumbang kepada pembelajaran dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan warga sekolah.”
Beliau berkata bahawa kerana perpustakaan merupakan gedung ilmu dalam mengembangkan budaya membaca dan pemerolehan ilmu warga, maka hal itu tidak boleh dipandang remeh oleh warga sekolah khususnya pelajar-pelajar.
“Saya amat mengharapkan kepada pelajar-pelajar supaya memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaik mungkin. Isilah masa lapang dengan sering mengunjungi perpustakaan dan menelaah buku-buku yang ada.
“Bukalah pintu hati dan fikiran pelajar-pelajar untuk mencari dan menerima ilmu kerana pengetahuan di dunia ia sangat banyak dan tidak terbilang,” tekan beliau lagi.