BIJI bijan kecil tetapi khasiatnya amat besar. Dikenali dengan nama saintifiknya sesamun indicum, bijan banyak ditanam di kawasan tropika di seluruh dunia. Bijan diketahui umum mempunyai banyak kegunaan terutamanya dalam bidang masakan kerana sering digunakan sebagai bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih-muih. Selain itu bijan yang telah di ekstrak menjadi minyak pula banyak digunakan dalam masakan.
Terdapat beberapa jenis bijan yang ada di pasaran. Antaranya bijan hitam, bijan putih dan bijan merah. Bijan hitam jadi pilihan untuk dijadikan minyak kerana ia mampu menghasilkan kualiti minyak yang terbaik. Ia juga amat sesuai untuk tujuan perubatan.
Bijan putih pula kaya dengan kalsium. Ia amat berguna kepada mereka yang mempunyai masalah kekurangan kalsium.
Manakala bijan merah kaya dengan zat besi, vitamin A, vitamin E, protein dan lemak. Tidak kiralah anda menggunakan biji bijan penuh atau yang telah dijadikan minyak, rempah berharga ini amat baik untuk kesihatan tubuh.
Penuh protein
Bijan penuh dengan protein berkualiti tinggi. Terdapat lebih kurang 20 peratus protein dalam sebiji bijan. Dalam satu auns bijan nilai proteinnya lebih kurang 4.7 gram.

Membantu mencegah diabetes
Bijan mengandungi magnesium dan zat makanan lain. terdapat kajian yang menunjukkan minyak bijan mampu mencegah diabetes. Ia juga dikatakan mampu memperbaiki glukosa plasma dalam penyakit diabetes hipersensitif.
Mengurangkan tekanan darah
Dikatakan minyak bijan mampu merendahkan tekanan darah dalam diabetes. Ini kerana bijan penuh dengan magnesium. Magnesium merupakan zat makanan yang terkenal dalam membantu merendahkan tekanan darah.
Merendahkan kolestrol
Pengambilan bijan dikatakan mampu merendahkan tahap kolestrol kerana ia mengandungi phytosterols yang mampu menghalang penghasilan kolestrol. Bijan terutamanya yang berwarna hitam amat tinggi phythosterols.
Baik untuk pencernaan
Kandungan serat tinggi dalam bijan dikatakan mampu membantu usus dalam proses pengeluaran bahan buangan.
Kulit sihat
Kandungan zink yang tinggi dalam bijan dikatakan mampu membantu menghasilkan kolagen sekali gus menjadikan kulit lebih anjal dan membantu memperbaiki kerosakan tisu tubuh. Penggunaan minyak bijan dengan kerap dikatakan mampu mengurangkan kanser kulit.


Merangsang kesihatan jantung
Minyak dari bijan dikatakan mampu membantu kesihatan jantung melalui cara mencegah lesi atherosklerotik. Ini disebabkan terdapat sebatian antioksidan dan antikeradangan yang dikenali sebagai sesamol yang terdapat di dalam bijan.
Mencegah kanser
Biji bijan dikatakan mengandungi sebatian antikanser. Ini termasuklah asid phytic, magnesium dan phytosterols. Biji bijan dikatakan mengandungi kandungan phytosterpol yang banyak dalam kesemua biji.
Mengurangkan kegelisahan
Dikatakan biji bijan mengandungi magnesium dan kalsium, dua jenis mineral yang mampu melegakan stres dan memberi ketenangan. Bijan turut mengandungi vitamin thiamin dan trypthophan yang mampu membantu menghasilkan serotonin. Serotonin ini mampu mengurangkan kesakitan, membantu meningkatkan mood dan membantu tidur dengan lebih baik.
Membantu kesihatan anak damit
Dikatakan minyak bijan yang disapu ketika mengurut anak damit mampu dalam meningkatkan pertumbuhan anak damit dan memperbaiki tidur. Ruam pada kulit anak damit terutamanya pada kawasan yang dipakai lampin boleh dilindungi melalui cara menyapu minyak bijan pada kulit.
Melegakan artritis
Kandungan tembaga yang tinggi dalam bijan dikatakan mampu mencegah dan melegakan artritis, menguatkan tulang, menguatkan sendi dan pembuluh darah.