Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Biji kurma berusia 2,000 tahun buahkan hasil

    KIBBUTZ KETURA, ISRAEL – Apabila Sarah Sallon pertama memikirkan untuk menanam biji benih pokok kurma berusia 2,000 tahun dari bandar berkubu era Rom yang terletak di atas Laut Mati, dia menerima sambutan yang hambar.

    “Pakar arkeologi botani berkata ‘kamu sudah gila. Ia tidak akan berhasil,” beritahu pakar mengenai ubat-ubatan asli warga Britisih-Israel itu kepada AFP. Namun pertaruhan Sallon bahawa alam sekitar Laut Mati yang unik dan kering-kontang membolehkan biji benih dari bandar berkubu Masada berkembang telah terbukti betul.

    Dengan penuh kesabaran dan jagaan teliti, dia bersama rakan projek Elaine Solowey berjaya menanam pokok kurma dari benih yang wujud sejak Negeri Judah yang ditubuhkan pada kurun ke-11 Sebelum Masihi.

    Negeri itu ‘terkenal dengan kualiti dan kuantiti kurmanya,’ diiktiraf pada masa itu atas ‘saiznya yang besar, ra-sanya yang manis selain khasiat ubat,” tulis kedua-duanya dalam artikel untuk majalah Sains. Mengembalikan jenis kurma lama dengan projek Solowey, seorang pakar dalam pertanian lestari, bukan sahaja satu projek baharu, kata Sallon, tetapi menawarkan ‘sinar harapan’ kepada planet yang bergelut dengan krisis iklim dan kepupusan spesies besar-besaran. “Mungkin spesies menakjubkan berkenaan yang terdapat di semua tempat di sekeliling kita tidak akan lenyap,” katanya, mencadangkan ‘alam mempunyai jalan yang belum didedahkan yang memanfaatkan semua.

    “Ia boleh membenarkan benih kekal dorman selama beribu-ribu tahun, dan kami fikir ia telah pupus dan secara tiba-tiba, sepasang tangan emas seperti Elaine berjaya menghidupkannya semula.”

    Saintis Sarah Sallon (kiri) dan Elaine Solowey berdiri bersebelahan ‘Judith’, pokok kurma yang disemai daripada biji berusia 2,000 tahun ditemui di padang pasir Judah, sebelum menanamnya dalam tanah padang pasir Negev. – AFP
    Pekerja memindah pokok kurma yang disemai daripada biji berusia 2,000 tahun di padang pasir Negev, di Kibbutz Ketura, selatan Israel. – AFP

    Kurma yang dipetik daripada pokok kurma ‘Hannah’ dipamerkan di Kibbutz Ketura di selatan Israel. – AFP

    Sebelum melancarkan projek pemulihan pokok kurmanya, Sallon telah membaca mengenai benih bunga teratai berusia 500 tahun yang telah bercambah.

    Pada 2004, dia meminta Universiti Bar Ilan di Israel untuk mengakses beberapa benih pokok kurma terpelihara yang ditemui pada 1960 di bawah reruntuhan puing di Masada, perkhemahan Yahudi era Herod di atas gunung yang terkenal kerana dikepung oleh tentera Rom pada kurun pertama. Tidak berputus asa setelah digelar ‘gila’ oleh pakar arkeologi botani di Bar Ilan, Sallon menunjukkan kepada mereka bukti benih lama yang telah bercambah di tempat lain.

    Berbekalkan bukti berkenaan dan ‘perbalahan’, dia mendapatkan lima benih dan seterusnya berjumpa dengan Solowey, berpangkalan di Kibbutz Ketura, berhampiran sempadan Israel dengan Jordan. Solowey menceritakan bagaimana Sallon menghantarnya biji benih lama dari bandar berkubu dengan arahan supaya ‘berusaha menyemainya.’

    “Maka saya berkata: ‘Apa? Berapakah usia benih berkenaan?’ Dia menjawab: ‘2,000 tahun.’ Saya berkata: ‘Saya tidak dapat menyemainya!’ Dan dia berkata: ‘cuba’,” Solowey mengatakan dia menghabiskan beberapa bulan memikirkan pendekatan terbaik, sebelum memutuskan untuk menggunakan baja berasaskan enzim sementara mengetepikan penggunaan sebarang bahan kimia buatan manusia. Dalam rumah hijaunya, di mana dia menanam puluhan tanaman, dia mencuba menanam tiga benih tetapi selama beberapa minggu tidak melihat sebarang tanda kehidupan.

    Kemudian, pada satu hari pada Mac 20005, rekahan kecil terbuka dalam tanah salah satu pasu pokok kurma, petanda bahawa akar mulai berkembang. “Saya mula memikirkan betapa hebatnya, sekiranya ia merupakan apa yang saya fikirkan, lebih baik saya menjaganya dengan baik,” seloroh Solowey. “Saya tidak menyedari betapa pentingnya tanaman berkenaan.”

    Daripada tiga benih yang ditanam, hanya satu yang hidup, sekali gus mendapat jolokan ‘Methuselah’ sempena tokoh berpengaruh yang terkenal kerana umurnya yang panjang. Namun ‘Methuselah’ adalah tanaman jantan dan dengan itu tidak menghasilkan buah.

    Setelah membuktikan bahawa penanaman pokok kurma boleh mendatangkan hasil, Sallon mencari lebih banyak benih dengan harapan dapat mencambahkan tanaman betina. Kemudian pada tahun lalu, selepas penantian lama, sebatang pokok kurma bernama ‘Hannah’ menghasilkan kira-kira 100 kurma. Malah hasil yang lebih melimpah-ruah menyusul pada Ogos ini, dengan 800 kurma berwarna perang, agak kering namun dengan rasa madu.

    Sampel akan ditawarkan untuk jualan tidak lama lagi, kata kumpulan pakar itu. Juga timbulnya harapan bahawa saudara Hannah ‘Judith’, ditanam pada bulan ini, akan menghasilkan lebih banyak kurma. Sallon menjelaskan bahawa mengekalkan hasil kurma yang konsisten memerlukan usaha yang amat teliti dan menjaga tanaman ‘seperti menatang minyak penuh.’

    Ia merupakan proses yang mudah berubah-ubah. Adakah ia membuahkan hasil, dia berkata, “anda mendapat kurma yang sungguh istimewa ini.” Namun apabila terdapatnya jurang dalam kesinambungan ini, seluruh proses akan hancur berkecai.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda