Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bila guna lure aksi permukaan

    Oleh Raz AS

    Menggunakan lure aksi permukaan atau topwater boleh memberikan rasa kepuasan dan keseronokan yang berlainan berbanding ketika menggunakan lure tenggelam.

    Bunyi letupan dan hemburan di permukaan air ketika sang ikan menyambar lure yang dipersembahkan mampu mendebarkan jiwa si pemancing.

    Tambahan lagi jika sambaran pertama tidak berjaya mengena dan sang ikan tetap komited untuk mengejar lure tersebut.

    Lantaran itu, lure aksi permukaan merupakan antara yang menjadi kegemaran ramai kalangan pemancing di seluruh dunia.

    Apa yang menjadikan lure aksi permukaan sangat efektif digunakan untuk memikat ikan adalah kerana ia mampu membangkitkan naluri pemangsa dengan menyerupai mangsa yang tercedera atau cuba melarikan diri.

    Lure aksi permukaan merupakan antara yang menjadi kegemaran ramai bagi kalangan pemancing di seluruh dunia. – Gambar oleh TacticalBassin

    Dalam erti kata lain, ia mencetuskan reaction bite daripada ikan-ikan pemangsa atau agresif meski ketika itu ikan tidak dalam keadaan lapar.

    Meskipun lure aksi permukaan boleh digunakan sepanjang tahun, namun ia tidak semestinya mampu membuahkan hasil sepanjang masa.

    Ramai pemancing pakar berpendapat, lure aksi permukaan lebih sesuai digunakan ketika cahaya lebih suram, yakni ketika matahari baru terbit, hampir tenggelam dan ketika cuaca mendung.

    Ini mungkin disebabkan ikan selalunya akan berada di paras yang lebih dalam berbanding di bawah permukaan ketika cuaca cerah disebabkan perbezaan suhu atau menyembunyikan diri daripada pemangsa dari atas.

    Terdapat pelbagai lagi teori-teori yang dilontarkan di luar sana mengenai kekurangan keberkesanan lure aksi permukaan selain daripada tiga waktu yang diterangkan tadi.

    Antaranya, dikatakan ikan tidak nampak apa yang ada di atas permukaan disebabkan matanya silau ketika cahaya terang, sejauh mana kebenarannya tidak penulis ketahui kerana tidak pernah terbaca kajian saintifik mengenainya.

    Yang pastinya, tidak kiralah kondisi keadaan ketika awda memancing sangat sesuai untuk menggunakan lure aksi permukaan sekiranya lubuk tidak berisi belum tentu sang ikan akan berjaya dinaikkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda