Pernahkah awda percaya sepenuhnya kepada seseorang, hanya untuk menyedari akhirnya bahawa kepercayaan itu salah tempat? Saya pernah dan pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidup saya.
Dia adalah seseorang yang saya anggap seperti saudara kandung sendiri. Kami berkongsi segalanya: kegembiraan, kesedihan, bahkan rahsia terdalam yang saya tidak pernah ceritakan kepada orang lain. Saya selalu menganggapnya sebagai ‘orang kepercayaan,’ seseorang yang akan sentiasa ada untuk menyokong saya, seperti mana saya menyokongnya. Tetapi perlahan-lahan, segala-galanya berubah.
Saya mula menyedari bahawa setiap rahsia yang saya kongsikan kepadanya sering kembali kepada saya dalam bentuk cerita yang telah dimanipulasi. Hal-hal yang hanya saya dan dia tahu tiba-tiba menjadi bahan bualan orang lain. Kepercayaan yang saya berikan disalahgunakan, dan saya mula merasa seperti segala-galanya tentang hidup saya menjadi milik umum.
Lebih menyakitkan apabila saya menyedari bahawa dia sering ‘meminjam’ – baik wang mahupun masa – tanpa pernah ada keinginan untuk membalas. Pada mulanya, saya memaafkan kerana saya fikir itulah makna persahabatan sejati: saling membantu tanpa mengharapkan balasan. Tetapi akhirnya, saya sedar bahawa dia hanya muncul ketika dia memerlukan sesuatu, dan menghilang ketika saya berada dalam kesulitan.
Puncaknya berlaku ketika saya mengalami krisis kewangan akibat kehilangan pekerjaan.
Saya berharap dia akan berada di sisi saya, tetapi dia hilang, dan lebih menyakitkan lagi, saya mengetahui bahawa dia telah menggunakan nama saya untuk meminjam wang daripada orang lain – tanpa izin saya. Memutuskan persahabatan itu bukanlah keputusan yang mudah. Walaupun saya tahu hubungan itu toksik, saya bergelut dengan rasa bersalah. Saya bertanya kepada diri sendiri, “Adakah saya terlalu keras? Adakah saya tidak cukup memahami?”
Kepada awda yang mungkin sedang mengalami situasi serupa, saya ingin bertanya: bagaimana awda menghadapi teman yang toksik? Bagaimana awda membina semula kepercayaan selepas dikhianati?
Fina
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Fina kerana sudi berkongsi kisah awda. Memang sukar apabila persahabatan yang dianggap penuh kepercayaan berubah menjadi toksik dan mendatangkan kesakitan.
Dalam situasi seperti ini, penting untuk meletakkan kesejahteraan diri sebagai keutamaan.
Pertama sekali Dang ingin ingatkan Fina adalah, awda harus akui sesuatu persahabatan demikian tidak lagi mendatangkan kebaikan kepada Fina dan haruslah dijauhi. Seorang sahabat seharusnya menyokong, menghormati dan menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan dan bukanlah sebaliknya.
Seperti yang Fina ceritakan, jelaslah bahawa teman sahabat awda tidak layak lagi digelar sahabat kerana hubungan yang membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Maka adalah wajar untuk memutuskannya walaupun ia berat.
Jadikanlah pengalaman yang awda alami sebagai pengajaran pada masa hadapan.
Janganlah terlalu mudah mempercayai orang lain tanpa mengenalinya dengan lebih dekat terlebih dahulu. Sentiasa berhati-hati agar tidak terlalu mudah meletakkan kepercayaan terhadap individu yang belum cukup awda kenali.
Terdapat pelbagai ragam manusia di dunia ini. Ada yang benar-benar ikhlas menjadi sahabat dan boleh membantu kita namun ada juga yang hanya mengambil kesempatan sahaja. Namun, Dang pasti masih ada lagi individu di luar sana yang boleh menjadi sahabat yang baik kepada Fina. Sentiasalah berfikiran positif dan perlahan-lahan bersikap terbuka untuk menjalin persahabatan baharu dan dalam masa yang sama berhati-hatilah dalam meletakkan kepercayaan.