Saturday, November 30, 2024
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilah kipas membelah permukaan air

    Oleh Raz AS –

    Apabila disebut sahaja topwater lure pasti ramai yang terbayangkan umpan tiruan yang timbul dan terapung di permukaan seperti popper, pencil dan lain-lain.

    Namun begitu sebenarnya tidak semua topwater lure akan terapung di permukaan jika tidak beraksi, ini termasuklah dengan topwater lure yang dikenali sebagai buzzbait. Apakah dia buzzbait itu?

    Ramai pemancing yang kurang mengetahui perbezaan antara buzzbait dan spinnerbait dan menganggapnya daripada jenis yang sama kerana rupa fizikalnya yang hampir-hampir menyerupai satu dengan yang lain.

    Buzzbait seperti juga spinnerbait adalah sejenis umpan tiruan yang diperbuat daripada dawai berbentuk ‘<’ atau ‘J’ yang pada bahagian atasnya mempunyai kepingan besi manakala bahagian bawahnya pula mata kail yang ditutupi dengan rambu atau skirt yang selalunya diperbuat daripada getah silikon atau benang.

    Walau bagaimanapun, perbezaannya kepingan besi yang ada pada buzzbait adalah berbentuk seperti bilah kipas atau propeller, manakala spinnerbait pula mempunyai kepingan besi yang berbentuk daun yang leper dan tirus atau lebar seperti sudu.

    Putaran kipas tersebut bukan sahaja mengangkatnya ke permukaan bahkan akan menghasilkan bunyi dan aksi kocakan pada permukaan air yang menarik perhatian ikan pemangsa dari jauh. – Gambar oleh Wired2fish
    Buzzbait juga boleh digabungkan dengan umpan tiruan jenis softplastic. – Gambar oleh Wired2fish

    Dari segi penggunaannya pula buzzbait digunakan sebagai umpan permukaan manakala spinnerbait boleh digunakan di pelbagai peringkat kedalaman air.

    Di negara barat, buzzbait sangat popular penggunaannya di kalangan pemancing ikan bass dan pike terutama di Amerika Syarikat. Apabila umpan ditarik, halangan daripada air akan menyebabkan kipasnya berpusing dan membuatkannya terangkat dan timbul ke permukaan air.

    Putaran kipas tersebut bukan sahaja mengangkatnya ke permukaan bahkan akan menghasilkan bunyi dan aksi kocakan pada permukaan air yang menarik perhatian ikan pemangsa dari jauh.

    Terdapat pelbagai jenis variasi buzzbait yang boleh didapati di pasaran, ada yang dilengkapi dengan dua kipas kecil, ada yang mempunyai kipas yang kompak, ada juga yang mempunyai kipas yang sangat besar.

    Malah ada juga yang dibentuk seperti spinner (umpan tiruan yang diperbuat daripada dawai lurus yang mempunyai kepingan besi seperti sudu di depannya dan treble hook di belakangnya) yang dikenali sebagai in-line buzzbait. Di negara ini, in-line buzzbait yang selalu kita lihat di pasaran adalah dalam bentuk katak tiruan sama ada softplastic atau hardbodied yang dipadankan dengan kipas di depannya.

    Buzzbait sangat sesuai digunakan berhampiran tebing yang mempunyai perairan yang cetek tidak kiralah memancing dari tebing atau menggunakan bot.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda