Tuesday, March 25, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilang serlah warisan padian melalui fesyen

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan oleh Bilang

    ‘Bagai bulan jatuh ke riba’ itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan pengasas bersama Bilang, Awang Zulhelmi Kamaluddin dan Awang Fikri Afif apabila diberi peluang untuk mempamerkan salah satu rekaan mereka di Minggu Fesyen Antarabangsa Thai Silk ke-3, baru-baru ini.

    “Ia benar-benar tidak dijangkakan. Kami pada mulanya dijemput untuk menyertai minggu fesyen berkenaan tetapi penganjur akhirnya mencadangkan bahawa mereka juga akan mempamerkan salah satu rekaan kami. Ia adalah pengalaman nyata yang tidak disangkakan,” luahkan Awang Zulhelmi Kamaluddin

    “Ini bukan sahaja satu kejayaan besar bagi Bilang akan tetapi ia juga satu kejayaan bagi negara kerana acara itu disaksikan oleh pemimpin-pemimpin dan perwakilan negara lain,” tambah Awang Fikri Afif.

    Bilang telah terpilih sebagai wakil Negara Brunei Darussalam daripada 60 buah negara bagi mengikuti Minggu Fesyen Antarabangsa Thai Silk ke-3 yang diadakan di Siam Paragon, Bangkok, pada 6 hingga 11 Disember lalu.

    Mereka telah mempersembahkan koleksi Musim Bunga dan Panas 2023 berjudul ‘Reminiscence’ atau ‘Ristaan’ dalam Bahasa Melayu Brunei dengan mengangkat tema ‘Padian’.

    Bilang diberi peluang untuk mempamerkan rekaan mereka pada Minggu Fesyen Antarabangsa Thai Silk ke-3, yang diadakan di Siam Paragon, Bangkok, baru-baru ini.
    Pengasas bersama Bilang, Awang Zulhelmi Kamaluddin dan Awang Fikri Afif.
    Antara koleksi Musim Bunga / Panas 2023 berjudul ‘Reminiscence’ atau ‘Ristaan’ dalam bahasa Melayu Brunei dengan mengangkat tema ‘padian’.

    Koleksi ‘Remniscence’ mengandungi 12 set busana yang mana tujuh daripadanya dihasilkan hampir keseluruhannya menggunakan fabrik sutera Thai asli ehsan kerajaan Thailand. Setiap set busana tersebut direka secara teliti demi menzahirkan elemen nostalgia era kegemilangan padian.

    Gabungan warna-warna terang serta perincian batu dan brocade digayakan dengan Siraung Bini, topi yang sinonim dengan Padian dan dihasilkan semula khas untuk pertunjukan fesyen itu.

    Sebagai teaser kepada koleksi istimewa itu, sepasang baju shirt-dress berwarna kuning yang dipadankan dengan rompi biru dengan perincian yang diperbuat daripada kain Sutera Thai telah membuat penampilan sulung di Persidangan APEC yang juga berlangsung di Bangkok bulan lalu.

    Lima busana tambahan juga telah dilancarkan bersama koleksi Musim Bunga dan Panas 2023 itu. Helaian yang digelar ‘Bilang Eidsential Pieces’ itu khusus buat persiapan menjelang musim Hari Raya yang akan datang.

    “Kali ini, kami tampilkan elemen padian melalui pakaian harian, perubahan gaya mereka sepanjang zaman dan sebagainya,” jelas Awang Fikri Afif.

    Bagi Bilang, seni penceritaan dalam rekaan sudah menjadi lumrah. Selama berdekad lamanya, golongan wanita Kampong Ayer berjaja di atas perahu sambil berkayuh dari rumah ke rumah untuk mencari sumber pendapatan. Namun, sejak awal abad ke-20, padian sudah mulai berkurang dan akhirnya pupus sekitar tahun 1980an.

    Bilang hanya berpandukan gambar-gambar lama sebagai rujukan dan sumber inspirasi dalam menghasilkan koleksi itu. Bahkan, jenama tersebut juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan Siraung Bini kerana seni anyaman topi yang digunakan golongan padian tersebut sudah pupus.

    “Kami cuba untuk mencari Siraung Bini di seluruh negara namun tidak berhasil. Mujurlah, selama beberapa bulan yang lalu, Bilang telah bekerjasama dengan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei dalam membuat kajian, menghasilkan semula dan menghidupkan kembali seni anyaman Siraung Bini ini,” ujar Awang Zulhelmi Kamaluddin.

    “Kami merasa bangga dan bersyukur kerana mereka boleh menghasilkan bentuk dan struktur melengkung yang hampir sama dengan Siraung Bini yang asal. Kerjasama daripada penganyam bakul dari Kampung Kiudang untuk menghasilkan beg khas juga turut kami hargai,” tambahnya.

    Koleksi itu bukan sahaja menjadi penanda aras baharu buat jenama Bilang bahkan menjadi pemangkin dalam menghidupkan semula warisan negara yang semakin dilupakan.

    Dengan mengetengahkan padian sebagai inspirasi dan sutera Thai sebagai fabrik utama untuk koleksi tersebut, ia melambangkan gabungan budaya Brunei dan Thailand serta melambangkan persahabatan erat kedua buah negara.

    Di samping itu, mereka berharap ianya dapat menanamkan kesedaran terhadap kepupusan warisan padian dan dalam masa yang sama merista kembali sejarah serta era kegemilangannya suatu ketika dahulu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda