Tuesday, January 28, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilangan ahli farmasi di Brunei masih rendah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Menurut Brunei Darussalam Statistical Yearbook 2022, nisbah ahli farmasi kepada penduduk pada 2022 adalah 1:4,738 yang menunjukkan bahawa bilangan ahli farmasi di Brunei jauh lebih rendah berbanding negara jiran ASEAN seperti Singapura iaitu 1:1,446.

    Oleh itu, program Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Farmasi di Universiti Brunei Darussalam (UBD) merupakan usaha bersama antara pihak UBD dan Kementerian Kesihatan yang telah bermula pada 2016, telah melahirkan graduan farmasi sejak 2020.

    Setelah menjalani program latihan pra-pendaftaran farmasi selama setahun, mereka layak mendaftar dengan Lembaga Farmasi Negara Brunei Darussalam.

    Inisiatif itu adalah untuk menyokong sepenuhnya salah satu Matlamat Wawasan Brunei
    2035 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar – Kementerian Kesihatan) dalam perutusannya sempena Hari Ahli Farmasi Sedunia 2023.

    Dalam perutusan itu, beliau menekankan bahawa ahli farmasi membentuk tulang belakang dalam penyampaian dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan merupakan ahli penting dalam pasukan penjagaan kesihatan berbilang disiplin.

    Pada setiap kunjungan pesakit di farmasi, ahli farmasi akan memastikan ubat yang dibekalkan adalah betul pada dos yang betul dan formulasi yang bersesuaian kepada pesakit berkenaan.

    Selain itu, sebagai salah satu profesional penjagaan kesihatan yang paling mudah diakses di seluruh dunia, ahli farmasi menggunakan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman mereka untuk melindungi kesihatan dan mencegah penyakit.

    Ahli farmasi sentiasa berusaha untuk menambah baik dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk pesakit.

    Beliau menyatakan lagi, penglibatan ahli farmasi dalam pembuatan ubat-ubatan, dasar-dasar dan pendidikan telah membantu dalam penyediaan penjagaan pesakit yang lebih baik dan berkualiti serta melindungi orang ramai.

    Ahli farmasi di Negara Brunei Darussalam mempunyai banyak peranan yang berguna dalam memberi kesan seperti memberi penjagaan secara langsung kepada pesakit di pelbagai farmasi dan institusi penjagaan kesihatan, bekerjasama rapat dengan pembekal farmaseutikal untuk memastikan bekalan ubat yang berterusan serta mengawal selia dan penguatkuasaan produk perubatan, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan kosmetik.

    Mereka juga sentiasa memantau kualiti dan keselamatan ubat-ubatan serta meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan farmasi.

    Dalam bidang pendidikan, tambah beliau, pendidik farmasi juga berperanan dalam melaksanakan transformasi dalam menghasilkan ahli farmasi yang mencukupi, berkelayakan dan cekap untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dalam
    masyarakat.

    Terdahulu dalam perutusannya, Yang Berhormat Dato menyatakan setiap 25 September merupakan Sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia, yang diraikan untuk memperingati profesion bidang farmasi dan menyokong peranan ahli farmasi dalam memperkukuh sistem penjagaan kesihatan dengan Sambutan Hari Ahli Farmasi Sedunia ke-13, mengetengahkan tema, ‘Farmasi Memperkukuh Sistem Kesihatan’.

    Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah mengadakan acara Sambutan Hari Farmasi Sedunia di Pusat Beli-belah One City, hari ini, yang bertujuan untuk mempromosikan perkhidmatan farmasi dan profesion bidang farmasi serta meningkatkan kesedaran mengenai pengawalseliaan produk berkaitan farmasi dan penjagaan kesihatan untuk keselamatan orang awam.

    Kementerian Kesihatan menyeru supaya setiap ahli farmasi untuk terus menjadi pemangkin perubahan dalam profesion bidang farmasi.

    “Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua warga farmasi di Negara Brunei Darussalam atas segala pengorbanan dan dedikasi yang telah diberikan dan semoga akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan berkualiti tinggi kepada semua lapisan masyarakat di negara ini,” ujarnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda