NEW DELHI, 1 Nov – Jumlah kematian dalam letupan transformer di negeri barat India Rajasthan hari ini meningkat kepada 14 orang, kata pegawai hari ini.
Tujuh orang sedang menjalani rawatan di hospital.
Letupan berlaku semalam di kampung Khatloi Shahpura berhampiran bandar Jaipur, ibu negeri Rajasthan.
Menurut pegawai, transformer meletup ketika orang sedang berkumpul untuk majlis perkahwinan.
“Transformer yang tidak diselenggara dengan baik itu meletup semalam, membunuh empat orang di tempat kejadian dan mencedera 17 yang lain,” kata pegawai kerajaan tempatan. Walaupun mangsa cedera dibawa ke hospital SMS, terdapat 10 orang lagi yang meninggal dunia pada malam itu, membawa jumlah kematian kepada 14.”
Punca letupan masih belum disahkan.
Ketua Menteri Negeri Vasundhara Raje telah mengumumkan satu siasatan peringkat tinggi dan menyatakan rasa amat sedih dan terkejut atas kematian tersebut.
Penduduk tempatan berkata transformer meletup pada kira-kira pukul 3:30 petang ketika upacara sebelum perkahwinan dan ritual sedang berlangsung di dalam sebuah rumah dan tetamu sedang berkumpul di luar.
“Wanita sibuk menyanyi lagu rakyat untuk perkahwinan dan kanak-kanak serta orang tua sedang berdiri di luar rumah, apabila satu letupan berlaku secara tiba-tiba,” kata seorang penduduk tempatan, Bhola Ram. “Letupan mengeluarkan minyak panas di mana beberapa orang, kebanyakannya wanita mengalami luka bakar.”
Tragedi itu mencetuskan bantahan daripada penduduk tempatan terhadap kerajaan dan jabatan elektrik. – Xinhua