PUTRAJAYA, 10 JULAI – Bilangan penganggur terus menurun sebanyak 0.7 peratus pada Mei lalu kepada 522,400 orang berbanding 525,900 pada April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Statistik Tenaga Buruh Mei 2025 yang dikeluarkan DOSM hari ini menunjukkan kadar pengangguran pada bulan ini kekal 3.0 peratus seperti pada April.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penduduk bekerja terus bertambah pada Mei lalu, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.82 juta yang direkodkan pada April lalu.
“Penurunan pengangguran yang berterusan diiringi pertambahan dalam guna tenaga mencerminkan prestasi ekonomi Malaysia yang positif dan memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Melihat kepada prestasi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan menunjukkan trend peningkatan konsisten, terutamanya aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman; perdagangan borong dan runcit; dan pengangkutan & penyimpanan.
“Pada masa yang sama, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, dan perlombongan & pengkuarian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan,” katanya. – Bernama
