KUNAK, 2 April – Bilangan penghidap kusta di Sabah menunjukkan trend penurunan sepanjang lima tahun lalu, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi.
Beliau berkata jumlah kes baharu yang direkodkan sejak tahun 2012 itu telah menunjukkan pengurangan ketara iaitu daripada 136 kes kepada 67 kes pada 2016.
“Ini menunjukkan usaha yang dijalankan bagi membasmi penyakit ini berkesan dan kerjasama berpanjangan antara Jabatan Kesihatan Sabah serta pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan mampu mengurangkan kes sehingga menjadi sifar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Kusta Sedunia 2017 peringkat negeri di sini, hari ini yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Kunak, Datuk Nilwan Kabang.
“Kita tidak ada vaksin untuk mengelak daripada jangkitan kusta. Jadi semua perlu berhati-hati kerana kemungkinan boleh dijangkiti warga asing dari negara yang bilangan kes kustanya tinggi,” kata Christina.
Sementara itu, Nilwan mahu masyarakat mengubah stigma penyakit kusta sebagai penyakit yang digeruni kepada penyakit yang boleh diubati dan dirawat. – Bernama