Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JAN – Dalam mencapai kejayaan, seseorang individu harus memberikan penekanan kepada usaha dedikasi dan masa di samping mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.
Kepentingan penekanan berkenaan kepada kejayaan seseorang individu diketengahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam ucaptama bertajuk From Vision to Victory: Charting Your Course to Success, semasa Hari Terbuka BILIF 2024 yang berlangsung di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Hajah Sufinah turut menitikberatkan pentingnya menimba pengetahuan, sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan, berani membuat kesilapan dan seterusnya belajar daripadanya sebagai elemen-elemen penting bagi mencapai serta mengekalkan kejayaan.
Acara itu dihadiri oleh lebih 150 orang peserta dari organisasi-organisasi daripada sektor awam dan swasta termasuk Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).
Terdahulu dalam acara berkenaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Haji Afero Eswandy bin Haji Mohammad dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Hari Terbuka BILIF dihasratkan bagi memberikan inspirasi dan galakan kepada para peserta untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan bidang masing-masing.
Beliau juga mengalu-alukan peserta yang berminat bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut berkaitan dengan program, acara dan pensijilan yang ditawarkan oleh BILIF bagi sepanjang 2024.
Hari Terbuka BILIF 2024 membawa tema Navigating Tomorrow’s Success, menampilkan pakar-pakar serta pengamal-pengamal industri tempatan dan antarabangsa yang membincangkan idea dan topik penting bagi mencapai kejayaan termasuk perkembangan peribadi, kepimpinan dan budaya organisasi.
Acara turut menyaksikan majlis penganugerahan sijil Professional Diploma in Islamic Finance and Economics kepada enam orang peserta yang telah berjaya menamatkan program Leadership in Islamic Finance and Economics (LIFE) Common Core.
Program LIFE Common Core telah mendapat pengiktirafan dan penetapan pada Tahap 4 menurut United Kingdom (UK) Regulated Qualification Framework oleh The London Institute of Banking and Finance.
Salah satu program khas BILIF yang juga mendapat pengiktirafan dan penetapan pada Tahap 7 ialah Fiqh Mu’amalat Practitioners Programme (FMPP).
Pengiktirafan itu menggariskan komitmen BILIF dalam memastikan bahawa program-program BILIF diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan standard yang tinggi terutamanya dalam bidang kewangan Islam.
Segmen pertama pada acara berkenaan merupakan sesi perbincangan pleno bertajuk Navigating Tomorrow’s Success, yang dikendalikan oleh Pemangku Pengurus Kanan, Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan BILIF, Dayang Ida Nazrena binti Haji Bujang selaku moderator.
Sesi perbincangan mengetengahkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank (StanChart) Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim; Associate Facilitator, Workplace Asia and Society for Human Resource Management (SHRM), Associate Trainer SHRM, Asia Tenggara, Jacqueline Choy; Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Banking & Finance Institute Malaysia (IBFIM), Yusry Yusoff dan Pengasas ChapterOne Asia, Dr Wendy Lee.
BILIF juga mengadakan beberapa sesi perkongsian pada sebelah petang antaranya Achieving High Performance Organisational Culture oleh Tham Chien Peng, SHRM; Dress to Impress: Nailing the First Impression oleh Dr Wendy Lee, Chapter One Asia International; Tools for Success: Building Confidence, Communication & Time Management oleh Julius Hong Yan Cin, Dayangku Aniqah Syairah binti Pengiran Ruslan dan Dayangku Ayumi Qistina binti Pengiran Mohd Yusof, BILIF dan Emotional Intelligence for Leaders oleh Chong Wan Ching, VIVA.
Klinik kerjaya turut dikendalikan oleh wakil dari BILIF, SHRM dan ICA bertujuan bagi menawarkan bimbingan dan sumber yang boleh membantu dalam membangunkan kemahiran dan kecekapan yang diperlukan di bidang masing-masing.
BILIF turut menganjurkan pameran yang disertai oleh BDCB, BILIF dan rakan-rakan strategik BILIF di dalam dan di luar negara seperti Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C), International Compliance Association (ICA) dan SHRM.
Pameran itu mengetengahkan pelbagai peluang pembelajaran dan maklumat yang bermanfaat khususnya dalam perkembangan kerjaya dan peribadi para pengunjung.
Dalam masa yang sama, BILIF juga telah mengadakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat pada acara berkenaan dengan menyediakan beberapa ruang pameran dan jualan secara percuma khusus bagi usahawan-usahawan yang berdaftar di bawah Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), Konsortium Muallafprenuers dan BIBD Special Entrepreneurial Empowerment and Development Scheme (BIBD SEED).