Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya di bulan suci Ramadan, Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) di bawah inisiatif BILIFinSharing telah menyampaikan sumbangan kepada enam buah keluarga yang memerlukan di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.
Penyerahan sumbangan merangkumi bekalan makanan asasi, makanan berbuka puasa dan keperluan bagi persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu telah diketuai oleh Penolong Pengarah Urusan, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Awang Mardini bin Haji Eddie selaku pemangku ketua pegawai eksekutif BILIF.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BILIF, hari ini, sumbangan diserahkan kepada keluarga yang dikenal pasti di Kampong Ayer, Kampung Batong, Kampung Serasa, Kampung Pulaie dan Kampung Lambak Kiri.
BILIFinSharing merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BILIF dalam membantu masyarakat di sepanjang bulan Ramadan ini yang diharap akan memberikan sokongan kepada keluarga-keluarga dalam mengerjakan ibadah puasa dan menyambut Hari Raya yang bakal menjelang.