BILIF sumbang lebih 10,000 pelitup muka

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF), dengan kerjasama Projek Bina Ukhwah (PBU) telah menyumbangkan lebih 10,000 pelitup muka untuk membantu komuniti dalam menangani penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini. 

Menurut kenyataan BILIF, di sini, hari ini, majlis penyampaian sumbangan berlangsung di BILIF, Bangunan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Kenyataan menyatakan, sumbangan BILIF telah diserahkan oleh Penolong Pengarah Urusan (Perkembangan Korporat), Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), Hajah Sufinah binti Haji Sahat selaku pemangku ketua pegawai eksekutif BILIF kepada Pengurus Projek PBU, Awang Mohammad Riwandy bin Ramli dan Penolong Pengurus Projek, Dayang Siti Jalwatul Munawwarah binti Mohd Norsham.

Sumbangan akan diagihkan oleh PBU kepada beberapa pasukan sukarelawan dan kecemasan, pusat hotline, kuarantin dan vaksinasi dan pekerja asing. 

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) BILIF ke arah membantu dan memberi kembali kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam semasa pandemik COVID-19.

Ia juga sebagai tanda penghargaan BILIF kepada petugas barisan hadapan, sukarelawan dan pekerja asing atas komitmen mereka dalam masa yang sukar ini.

Ditubuhkan pada 2010, BILIF yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), merupakan sebuah institusi latihan di bawah bidang kuasa BDCB.

Gambar ramai pada majlis penyerahan sumbangan pelitup muka daripada BILIF berkenaan.