Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilik 309: Bermalam di hotel lama

    Oleh Aqilah HMS –

    Kisah ini terjadi 10 tahun yang lalu. Aku masih ingat dengan jelas kerana tahun itu aku baru saja dapat panggilan temu duga penting di bandar. Aku tinggal di Kuala Belait pada masa itu, jadi untuk elak bangun terlalu awal dan memandu jauh, aku putuskan untuk bermalam di bandar sehari sebelumnya. Aku tidak biasa menginap di hotel sendirian, tapi aku fikir apa sangatlah cuma satu malam, tidur dan teruskan urusan esok.

    Melalui laman tempahan dalam talian, aku pilih hotel bajet berhampiran pusat bandar. Gambar di laman web nampak biasa saja bangunan lama, tapi biliknya kelihatan kemas dan sederhana. Harga pun murah. Aku tidak fikir panjang.

    Namun, bila aku tiba di sana waktu malam, sekitar jam sembilan lebih, barulah aku rasa lain macam.

    Hotel itu terletak di satu kawasan agak terpencil, sedikit jauh dari jalan utama. Bangunannya kelihatan tua dan kusam; cat dinding mengelupas, papan tanda pudar dan lampu di hadapan hanya separuh berfungsi. Tempat letak kereta sunyi, hanya ada dua kereta lain.

    Aku masuk ke lobi kecil dan senyap. Bau hapak karpet lama memenuhi udara. Di kaunter, hanya ada seorang lelaki tua berkemeja putih kusam. Dia pandang aku dari kepala sampai kaki, kemudian tersenyum hambar.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Check in?” tanyanya perlahan.

    Aku angguk, serahkan kad pengenalan. Dia semak buku daftar, kemudian mengeluarkan kunci besi dengan tag bertulis 309.

    “Tingkat tiga,” katanya ringkas sambil hulurkan kunci. “Lif di hujung sana.”

    Aku ambil kunci itu, mengucap terima kasih. Tapi sebelum aku beredar, dia sempat menambah, “Kalau ada apa-apa, jangan segan tekan loceng malam-malam.”

    Nada suaranya membuat aku sedikit terganggu. Tapi aku senyum saja dan terus ke lif.

    Koridor tingkat tiga panjang dan sunyi. Lampu neon di siling berkelip perlahan, mengeluarkan bunyi ‘zzzt… zzzt…’ yang mengganggu. Aku lalu beberapa bilik lain, tapi semuanya tertutup dan senyap. Entah kenapa, udara di situ terasa lebih sejuk daripada biasa.

    Bilik 309 terletak di hujung sekali. Aku buka pintu dan bau lembap terus menyerbu keluar.

    Bilik itu besar, tapi kelihatan lama cat dinding pudar, langsir tebal berhabuk dan perabot kayu yang sudah berumur. Ada satu katil besar, meja kayu, televisyen kecil, dan bilik air di penjuru kanan.

    Aku letakkan beg di atas meja dan cuba buka tingkap untuk dapatkan udara segar, tapi tingkapnya seperti tersekat, hanya terbuka sedikit. Dari celah kaca, aku nampak jalan gelap dengan lampu jalan yang malap. Tiada orang, tiada bunyi kenderaan. Sunyi.

    Aku mandi cepat-cepat, kemudian bersedia untuk tidur. Aku letak telefon di tepi katil, tutup lampu utama dan biarkan lampu meja menyala samar. Baru saja nak pejam mata, tiba-tiba aku terdengar bunyi air mencurah deras dari bilik mandi.

    Mula-mula aku fikir mungkin aku terlupa tutup paip. Aku bangun perlahan, masuk ke bilik air tapi semua paip tertutup rapat. Lantai kering. Tiada air, tiada bunyi. Aku berdiri beberapa saat, cuba dengar lagi. Bunyi itu datang semula, tapi kali ini kedengaran dari atas kepala, seperti dari siling.

    “Ah, mungkin bilik atas,” aku bisik sendiri. Tapi anehnya, bunyi itu terlalu kuat, macam sebaldi air dicurahkan terus ke dalam bilik. Aku tunggu hampir 10 minit, bunyi itu berhenti dengan tiba-tiba.

    Aku kembali ke katil. Walaupun cuba untuk tidur, perasaan tak sedap itu semakin kuat. Rasa seram yang sukar dijelaskan, bukan sebab bunyi tadi, tapi seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhati aku dari satu sudut bilik.

    Bilik itu luas, tapi aku sengaja baring menghadap dinding supaya tak nampak ruang belakang. Lampu meja aku biarkan terbuka. Aku pejam mata rapat-rapat dan cuba lena.
    Entah jam berapa, aku tersedar semula sebab suara.

    Lembut, perlahan, tapi jelas. Suara perempuan menangis.

    Pada mulanya aku fikir mungkin dari bilik lain, tapi bila aku buka mata, aku sedar bunyi itu datang dari belakang aku, dari arah ruang kosong di belakang katil.

    Tangisan itu kedengaran sayu, sekejap perlahan, sekejap tersedu. Aku kaku. Bulu roma naik seluruh badan. Dalam hati aku ulang-ulang doa, tapi suara itu makin jelas, seolah-olah seseorang sedang duduk di lantai, menangis dengan kepala tertunduk.

    Aku tak berani berpaling. Dalam beberapa saat, aku rasa tilam di bahagian belakang badan, tiba-tiba tenggelam sedikit, seperti ada seseorang duduk di situ.

    Aku pejam mata sekuat hati, tapi air mata aku menitis sendiri sebab rasa takutnya terlalu kuat. Aku tak boleh jerit, tak boleh bangun. Nafas aku pendek-pendek, seolah dada ditekan sesuatu.

    Suara tangisan itu berhenti.

    Tapi diganti dengan bunyi nafas perlahan, betul-betul di belakang tengkuk aku. Hangat, perlahan dan nyata.

    Aku menahan diri daripada menjerit. Dalam hati aku baca apa yang aku mampu, tapi lidah rasa kelu. Aku tak tahu berapa lama keadaan itu berterusan, mungkin seminit, mungkin 10. Akhirnya aku pengsan atau tertidur, aku sendiri tak pasti.

    Bila aku terjaga, matahari dah naik. Langsir tertutup, tapi cahaya pagi menembusi celahnya. Jam menunjukkan pukul enam lebih. Aku bangun perlahan-lahan, masih rasa pening dan letih.

    Bila aku toleh ke bahagian sebelah katil, aku tergamam. Tilam di sebelah kanan, masih tenggelam sedikit, seperti ada seseorang tidur di situ sepanjang malam.

    Aku cepat-cepat bangun dan masuk ke bilik air. Lantai kering, tapi di depan pintu bilik air, ada kesan tapak kaki basah kecil, menuju ke arah katil. Bukan tapak kaki lelaki bentuknya kecil, seperti milik perempuan.

    Aku rasa darah mengalir turun ke kaki. Tanpa fikir panjang, aku kemas barang dan keluar dari bilik secepat mungkin.

    Di lobi, lelaki tua malam tadi masih di kaunter. Dia nampak aku dengan wajah lesu, dan senyum nipis.

    “Tak dapat tidur, ya?” katanya perlahan.

    Aku pandang dia tanpa menjawab. Dia menunduk sedikit, seperti faham sesuatu.

    “Bilik 309… ramai tak tahan lama di situ,” katanya lagi, nada seperti sudah lali. “Dulu ada perempuan mati di situ. Mungkin dia belum tenang.”

    Aku terus serahkan kunci dan keluar tanpa sepatah kata.

    Di dalam kereta, aku sempat pandang ke cermin tengah. Untuk sekelip mata, aku nampak bayangan perempuan duduk di tempat duduk belakang, rambut panjang menutupi wajah, tunduk sambil menangis.

    Aku kelip mata dan bayangan itu hilang.

    Aku hidupkan enjin, pandu keluar dari kawasan hotel tanpa menoleh lagi.

    Tapi perasaan diperhati itu masih ada. Sepanjang perjalanan ke tempat temu duga, aku rasa seram setiap kali lihat cermin belakang.

    Temu duga hari itu berjalan, tapi aku gagal fokus. Fikiran aku masih terbayang malam semalam, suara tangisan, tilam tenggelam, dan tapak kaki basah di lantai.

    Malam berikutnya, bila aku cuba tidur di rumah sendiri, aku dengar bunyi air mengalir dari bilik mandi. Aku bangun, tapi paip tertutup. Bunyi itu terus hilang bila aku buka pintu.

    Sejak malam itu, aku tak pernah tidur membelakangi ruang kosong lagi.

    Aku juga tak pernah menginap sendirian di mana-mana hotel, terutama yang lama dan sunyi. Bagi aku, malam itu cukup untuk aku percaya, tidak semua bilik yang disewa itu benar-benar kosong.

    Kerana sesetengahnya, mungkin masih ada penghuni yang tidak mahu pergi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda