Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bilik aktiviti pembungkusan perisa KFC dilancar

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Mentiri, baru-baru ini, telah menganjurkan acara majlis pelancaran bilik aktiviti pembungkusan perisa KFC yang dinamakan sebagai Permata Internship Room.

    Menurut Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), pelancaran bilik tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat Ketua Unit Pendidikan Kerjaya, JSS, Kementerian Pendidikan, Dr Andree Asmara bin Haji Abidin bersama-sama Pengetua SMPDSM, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof dan Pengurus Perolehan KFC Brunei, Clarice Petrus.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Radiah binti Haji Abdul Ladi; Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Kartina binti Haji Bakar, ahli-ahli pentadbiran sekolah, guru-guru dan para pelajar.

    Haji Malai Shah Eran semasa berucap melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada KFC Brunei Sdn Bhd dan JSS atas projek kolaborasi aktiviti pembungkusan sejak 2014 di sekolah-sekolah menengah kerajaan terpilih.

    Beliau berkata projek kolaborasi itu akan memberi manfaat kepada sekolah dalam membantu membangunkan kemahiran kebolehpasaran pelajar Program Pra-Vokasional dan memperoleh pengalaman kerja asas sebagai persiapan untuk penempatan kerja dan pekerjaan selepas tamat program.

    Sementara itu, Dr Andree Asmara melahirkan rasa syukur kepada pihak sekolah atas hasrat yang tinggi dalam melaksanakan projek tersebut untuk para pelajar Program Pra-Vokasional yang berkebolehan.

    Sebelum pelancaran itu, guru-guru dan pelajar-pelajar dari SMPDSM telah melawat Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) pada Jun lalu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaksanaan aktiviti pembungkusan dan amalan terbaik yang disampaikan oleh Guru Homeroom Program Pra-Vokasional, Awang Muhammad Ruzaimi bin Muhammad
    Saifullah.

    Sehingga tahun ini, sebanyak empat buah sekolah menengah kerajaan terpilih sedang melaksanakan aktiviti pembungkusan perisa KFC iaitu SMSSA, Sekolah Menengah Sayyidina Othman, Sekolah Menengah Sayyidina Husain dan SMPDSM.

    Majlis kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada pengetua sekolah kepada Dr Andree Asmara dan Clarice Petrus.

    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama warga sekolah dan wakil KFC. – GAMBAR SERAHAN JSS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda